Masa depan Kedah FA : Sanusi bakal diuji malam ini

Masa depan Kedah FA : Sanusi bakal diuji malam ini

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu mencari formula segera bagi merungkai segala permasalahan termasuk isu kewangan yang dihadapi persatuan berkenaan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di sini, malam ini.

Mesyuarat itu bakal dipengerusikan buat pertama kalinya oleh presiden baharu KFA merangkap Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang dipilih tanpa bertanding pada kongres luar biasa 12 Julai lalu.

Jawatankuasa Eksekutif dijangka membincangkan pelbagai isu termasuk berkaitan gaji tertunggak, kontrak pemain, pemisahan FA ke FC dan peluang baharu penajaan dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

“Mesyuarat akan berlangsung pada pukul 8.30 malam ini. Dari situ pihak pengurusan akan melihat segala permasalahan dengan terperinci bagi mencari kaedah tepat untuk membuat banyak keputusan dalam perancangan yang mahu dilaksanakan seterusnya.

“Kita harap presiden dapat membuat keputusan terbaik pada mesyuarat 3 Ogos ini. Banyak akan dibincangkan dan saya berharap segala perancangan bakal dilakukan KFA nanti berjalan lancar selepas perbincangan. InsyaAllah.” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai laporan tiga pemain Kedah yang diwakili peguam memulakan langkah menuntut tunggakan gaji selama lima bulan kepada KFA, sumber memberitahu, ia sudah dimaklumkan.

“Perkara itu membabitkan hak pemain masing-masing dan tak apalah.. memang hak depa (mereka),” katanya.

Akhbar melaporkan tiga pemain yang juga tonggak import tanpa mendedahkan identiti mereka, sudah menghantar surat tuntutan gaji kepada pengurusan pasukan. Berdasarkan peraturan, KFA diberi 15 hari untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Turut dinyatakan, sekiranya pemain tidak menerima pembayaran penuh atau penyelesaian secara bersama sehingga 12 Ogos ini, mereka boleh membatalkan kontrak secara sebelah pihak dan tidak perlu turun berlatih serta menyertai perlawanan.

KFA juga dikatakan perlu membayar baki gaji sehingga habis musim seperti terkandung dalam kontrak walaupun tidak lagi bersama pasukan kerana pemain menamatkannya secara sebelah pihak.

 

Berita Penuh : BERITA HARIAN

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )