Menteri Alam Sekitar dan Air buat apa? - Rafidah
Menteri Alam Sekitar dan Air buat apa? – Rafidah

Menteri Alam Sekitar dan Air buat apa? – Rafidah

Bekas menteri Rafidah Aziz berkata begitu banyak perkara yang “tercemar” di Malaysia dan mempersoalkan alasan negara ini masih berdepan isu gangguan air.

Rafidah berkata demikian di tengah-tengah kemarahan orang ramai dengan isu gangguan air yang dihadapi penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor selepas empat lori jawatan air (LRA) terpaksa ditutup kerana berlaku pencemaran pada sumbernya.

“Begitu banyak perkara yang tercemar dan menjadi toksik di Malaysia.

“Politik, pentadbiran, alam sekitar, dan air yang kita minum. Kenapa?

“Ada kerajaan ke di Malaysia ini?” katanya di Facebook.

Rafidah menggesa agar hukuman yang lebih tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan mengatasi akar sebenar permasalahan berkenaan.

“Sekali lagi, pencemaran oleh pihak industri. Semestinya, kita kini sudah ada petugas khas melibatkan pihak berkuasa air, kerajaan tempatan dan kementerian untuk membuat pemantauan berterusan.

“(Sepatutnya) sudah ada hukuman tegas yang berkesan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“(Sepatutnya) sudah ada siasatan segera, untuk menutup semua kelompongan yang membolehkan pesalah mengulangi kesalahan mencemarkan air sehingga menjejaskan orang ramai,” katanya.

Pagi ini Air Selangor memberitahu empat LRA yang terlibat mula beroperasi sejak malam tadi namun memerlukan masa sehingga 10 jam sebelum bekalan air boleh pulih.

Bernama pula melaporkan empat adik-beradik pemilik sebuah kilang ditahan untuk membantu siasatan ekoran insiden tersebut.

Berita Penuh : MALAYSIAKINI

(Visited 29 times, 1 visits today)

COMMENTS