Menteri Pengajian Tinggi timbulkan kegawatan di kalangan pelajar IPT – Asmirul Anuar Aris

Menteri Pengajian Tinggi timbulkan kegawatan di kalangan pelajar IPT – Asmirul Anuar Aris

Saya sebenarnya tidak berniat untuk menulis warkah ini secara terbuka. Memandangkan terlalu banyak arahan yang tidak menepati keperluan sehingga menimbulkan kegelisahan dan kecelaruan terutama sekali bagi ibu bapa, penjaga malah pelajar sendiri maka saya terpaksa juga menulis warkah ini.

Semua rakyat Malaysia memahami bahawa COVID-19 telah mengubah aturan pergerakan kita dan kita sekarang terpaksa menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu kehidupan. Ia sebenarnya bukan alasan kenapa KPT tidak boleh membuat perancangan dengan lebih teliti dan terbaik untuk semua pihak.

Saya amati kronologi kenyataan-kenyataan dari Datuk Noraini Ahmad selaku Menteri Pengajian Tinggi dan saya lihat seolah-olah tidak ada perancangan yang rapi dan teliti.

  1. 17 Mac 2020 – Mengarahkan pelajar kembali ke kampung halaman masing-masing sehingga menimbulkan kekecohan berikutan kesesakan kerana dibuat secara tergesa-gesa.
  2. 18 Mac 2020 – Kembali melarang para pelajar agar jangan pulang ke kampung halaman masing-masing.
  3. 09 April 2020 – Mengadakan pertandingan ‘Tik Tok’ khusus untuk pelajar. (Apakah manfaat kepada pelajar?)
  4. 28 Mei 2020– Memperkenalkan pembelajaran secara atas talian sehingga 31 Disember 2020.
  5. 08 Julai 2020 – Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan dibuka semula pada bulan Oktober 2020.
  6. 02 Oktober 2020 – Saat akhir Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) mencadangkan/menyarankan IPT menangguhkan pendaftaran untuk pelajar lama dan baru.

Keputusan-keputusan  yang dibuat tanpa perancangan yang rapi secara tidak langsung membebankan ibu bapa dan juga pelajar. Bayangkan arahan-arahan yang diberikan silih berganti, sekejap itu, sekejap ini. Semua ini memeningkan kepada semua pihak yang terlibat.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPT juga dilihat tidak ada arah tuju. Sekadar memberikan arahan tanpa ada apa-apa plan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.

1. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan dahulu pendaftaran merujuk kepada arahan yang tidak seragam pematuhannya. Perkataan ‘mencadangkan’ tidak membawa maksud adalah arahan yang selari atau seragam ke atas semua IPT.

2. Pembelajaran atas talian sepatutnya diteruskan mengikut arahan serta perancangan yang terawal berkuatkuasa 28 Mei sehingga 31 Disember 2020. Mengapa harus dipinda pada 08 Julai kepada pendaftaran pada Oktober 2020?

3. Apabila keputusan dilakukan pada saat akhir ia secara tidak langsung menyulitkan semua pihak. Ramai yang telah sampai ke universiti untuk proses pendaftaran pada hari ini dan terpaksa berpatah balik. Kesemua ini memerlukan perbelanjaan yang banyak. Tol, minyak kenderaan, rumah tumpangan, hotel. Itu belum lagi mengambil kira makan dan minum sepanjang perjalanan dan ketika berada di universiti.

4. Bagaimana pula dengan ibu bapa yang telah bergolok gadai untuk wang saku, yuran pendaftaran dan pelbagai kelengkapan untuk anak-anak menyambung pelajaran. Bukan sedikit belanja yang diperlukan. Bagi keluarga yang berkemampuan mungkin itu bukanlah halangan yang besar. Tetapi bagaimana pula dengan keluarga sederhana yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

5. Menteri KPT perlu bertanggung jawab ke atas segala permasalahan yang terjadi ini. Mengambil keputusan untuk berundur dilihat suatu tindakan yang terbaik dan sangat tepat. Kerajaan PN perlu bertindak pantas menggantikan dengan seorang menteri lain yang lebih berkelayakan dan mampu memikul tanggungjawab yang besar ini.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan para pelajar dan keluarga mereka di dalam menghadapi ujian ini.

Asmirul Anuar Aris
Warga Malaysia

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )