Menu Mudah Untuk Sahur, Cara Buat Minuman Sunnah Air Nabeez
Menu Mudah Untuk Sahur, Cara Buat Minuman Sunnah Air Nabeez

Menu Mudah Untuk Sahur, Cara Buat Minuman Sunnah Air Nabeez

Sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba tak lama lagi, pelbagai saranan makanan dan minuman sunnah dikongsikan di laman sosial, salah satunya adalah air nabeez.

Air nabeez merupakan minuman sunnah yang menggunakan kurma sebagai bahan utama. Minuman ini dikatakan mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk tubuh badan.

Seperti yang kita tahu, kurma itu sendiri mempunyai pelbagai manfaat sekiranya diambil dalam kuantiti yang sepatutnya.

Menurut Hello Doktor, kurma kaya dengan sumber mineral seperti kalium (potasium) dan magnesium. Kalium merupakan komponen yang penting untuk menjaga fungsi jantung dan berperanan melancarkan pergerakan otot.

Sementara itu, badan manusia turut memerlukan magnesium untuk membantu pembentukan DNA, struktur tulang dan perpindahan kalsium serta kalium ke membran sel.

Di samping itu, kurma juga mengandungi sumber serat untuk melancarkan sistem penghadaman, mencegah sembelit dan menurunkan kadar kolestrol dalam darah.

Maka tak hairanlah jika air nabeez ini menjadi minuman yang popular dalam kalangan umat Islam sepanjang bulan puasa.

Untuk ketahui cara-cara menyediakan air nabeez, ikuti perkongsian pengguna Facebook Nabila Huda melalui grup Warga Kuantan Official di bawah ini.

Cara sediakan air nabeez

Rendam kurma dengan air masak malam ini. Sahur esok minum. InsyaAllah, perut mampu bertahan.

Buat ini untuk sekali minum saja ya. Jangan simpan lama-lama sangat. Nanti masam dah tak boleh minum.

Cara-caranya, ambil kurma dalam bilangan ganjil. Anggaran air dalam 500 milimiter ke satu liter.

Ambil tiga biji kurma dan buang bijinya. Carik-carik isi kurma. Ada juga yang guna kismis tapi jangan campur ya. Kalau buat kurma, kurma sahaja. Kalau kismis, kismis sahaja.

Rendam isi kurma dalam air masak biasa malam sebelum tidur. Letak di luar sahaja. Tak perlu simpan dalam peti sejuk. Tutup bekas air tu, jangan biarkan terbuka.

Sahur esok air tu dah boleh diminum. Air ini boleh juga diamalkan sebelum sarapan pagi bila hari-hari lain walaupun bukan di bulan ramadhan.

Amalkan masa perut kosong. Selamat mencuba.-SK

(Visited 70 times, 1 visits today)

COMMENTS