Merdeka dan pembebasan Kota Kuala Kedah - Asmirul
Merdeka dan pembebasan Kota Kuala Kedah – Asmirul

Merdeka dan pembebasan Kota Kuala Kedah – Asmirul

HARI MERDEKA DAN PEMBEBASAN KOTA KUALA KEDAH

Petang, Ahad 12 November 1821: Angkatan perang dari Siam yang tidak diketahui tujuannya belayar ke Kuala Kedah. Mereka disambut dengan meriah oleh Bendahara Dato’ Paduka Maharaja Sura.

Panglima Siam, Raja Ligor Phya Buri Sakmuton dibawa melawat sekitar Kota Kuala Kedah dengan segala tipu muslihat beliau secara tiba-tiba mengarahkan askarnya menyerang para pengawal di dalam kota tersebut. Maka berlakulah pertempuran hebat di dalam kota itu yang akhirnya menyaksikan tumbangnya Kota Kuala Kedah.

Itulah sejarah Kedah yang telah berusia 199 tahun. Tahun hadapan 2021, akan genab 2 abad bersamaan dengan 200 tahun peristiwa ini telah berlangsung. Nostalgia dan kesan sejarahnya masih terpahat di dada ingatan rakyat meskipun mula beransur pergi dari ingatan generasi pelapis.

Peperangan itu tidak pernah berlaku dengan sendirinya semata-mata ingin mahukan jajahan takluk tetapi rangkaian sejarah membuktikan segala peperangan yang berlaku itu adalah kerana ingin merebut peluang keemasan untuk mengusai ekonomi serta hasil mahsul sesebuah negara jajahan takluk.

Kedah tidak terkecuali sehingga menjadi sasaran serangan dua ‘Super Power(Kuasa Besar) Siam dan British kerana ingin merebut kuasa ekonomi di sebelah pantai barat.

Di pihak Siam mereka tidak mempunyai pelabuhan di sebelah pantai barat kerana Bangkok berada di sebelah pantai timur. Begitu juga dengan keperluan mereka mengusai/menjajah Pattani kerana keperluan untuk mengawal kedudukan Pattani yang juga di sebelah pantai timur.

Mereka perlu mengawal pertumbuhan ekonomi yang berasaskan pelabuhan di pantai barat supaya negara mereka terselamat daripada sebarang ancaman ekonomi mahupun kekuatan upaya kerajaan Negeri Kedah.

Negara akan menjadi maju dengan adanya perkembangan ekonomi yang berkembang maju terutamanya pelabuhan sebagai laluan perdagangan kapal-kapal asing yang singgah untuk mendapatkan bekalan makanan dan berpeluang untuk memasarkan/menjual produk hasil negara mereka.

Sebagai contoh: Singapura dan Hong Kong. Pembangunan dan pendapatan negara serta rakyatnya akan meningkat dengan sendirinya apabila berlakunya pertumbuhan ekonomi hasil dari perdagangan di pelabuhan utama.

Begitu juga dengan pihak British. Mereka juga mempunyai agenda yang tersendiri. Membenamkan pelabuhan Kota Kuala Kedah membawa maksud akan mengalih perhatian perdagangan ke Pulau Pinang.

Menghancurkan ekonomi di negeri Kedah adalah amat penting untuk membawa peluang keemasan kepada pasaran yang lebih besar serta terbuka kepada Pulau Pinang. Ini adalah telahan saya merujuk kepada strategi ekonomi selain menjadikan Pulau Pinang sebagai pengkalan tentera mereka.

Sultan Muhammad Jiwa telah menyerahkan Pulau Pinang kepada British melalui penjajah Francis Light pada 11 Ogos tahun 1786 supaya mereka(British) akan memberikan perlindungan kepada Kedah dari ancaman Siam.

Penjajah tetap penjajah. Segala manipulasi menjalankan agenda tersembunyi mereka tetap wujud apabila mengingkari perjanjian itu malah turut berserta membantu Siam untuk sama-sama menyerang Kedah.

Benarlah sejarah itu di tulis oleh Sang Penjajah maka segala transkrip dan manuskrip membenarkan segala tindakan kotor mereka termasuklah mendakwa merekalah yang membuka Pulau Pinang.

Menamakan Pulau Pinang seperti Prince of Wales Island sebagai penghormatan Putera Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penagi, Batu Uban yang terletak di hujung timur laut diletak nama “haram” iaitu “Georgetown”.

Saya tidak berhasrat mahu mengapi-apikan sejarah menjadikan nostalgia lama berdarah kembali. Sayangnya kita kekurangan pelbagai catatan sehingga terpaksa mengguna pakai catatan barat untuk menulis ‘Sejarah Di Bumi Sendiri’.

Bolehkah pembaca membayangkan pertempuran yang berlaku selama 21 tahun. Kuala Kedah sarat dengan peperangan dari sebelah darat dan laut. Hidup di dalam kepungan yang agak lama demi menjaga maruah negara. Puluhan ribu perajurit dan serikandi Kedah terkorban syahid demi kebebasan serta kemerdekaan negara.

Nilai yang tidak terbayar oleh peradaban sejarah. Apalah yang nak di banggakan dengan Kota Afamosa buatan penjajah sedangkan kita mempunyai Kota Kuala Kedah hasil seni binaan anak tempatan yang masih kekal kukuh menyimpan sejarah.

Pada tahun 1831: Anak saudara sultan, Tengku Kudin(Syed Zainal Abidin) berketurunan Palembang telah mengetuai 3000 angkatan perang orang Melayu dari Prai telah menyerang Siam di Kedah dan menghalau mereka jauh hingga ke sempadan Siam.

Kerajaan Siam dan British telah mengisytiharkan perajurit Kedah ini sebagai perompak, lanun dan pengganas.

Kemenangan angkatan Kedah tersebut tidak lama di mana mereka kembali diasak Siam dan terpaksa berundur dan bertahan di kota Kuala Kedah. Kapal-kapal perang British pula mengepung sepanjang persisiran pantai Kedah manakala tentera Siam menyerang dari darat.

Setelah bertahan selama 3 bulan dan bertempur menentang 7500 askar dan 3000 gajah dari Siam, Kota Kuala Kedah akhirnya jatuh ke tangan Siam.

Tengku Kudin sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan kepalanya telah dihantar ke Bangkok.

Pada tahun 1838: Sekali lagi angkatan perang Kedah diketuai oleh seorang lagi anak saudara sultan, Tunku Muhammad Saad yang berkekuatan 10,000 askar dan 50 perahu perang dilengkapi meriam ringan telah mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora (Songkhla).

Mereka juga berjaya membebaskan Patani dari naungan Siam buat seketika. Mereka bertahan di Songkhla sementara menunggu musim monsun tiba di mana bantuan askar melayu dari negeri-negeri sekitar dijangka tiba.

Kata-kata Tunku Muhammad Saad apabila berjaya merampas kembali Kota Kuala Kedah dari Siam.

Beliau menyebut:

“Beritahu Syarikat tersebut (British India Timur). Kami telah menawan semula Kedah yang merupakan hak milik kami.! Sebenarnya nada undang-undang yang boleh memansuhkannya dan selagi kami dapat menghunuskan pedang atau lembing, kami akan mengekalkan warisan yang di perturunkan daripada nenek moyang kami”.

Tetapi tidak lama kemudian Kerajaan Negeri Selat memberi bantuan kepada Siam. Angkatan Tunku Muhammad sekali lagi terpaksa berundur dan bertahan di Kota Kuala Kedah buat kali terakhir dan terpaksa menyerah.

Pada 19 Mac 1839: Sekali lagi Pekan Kuala Kedah dikuasai sepenuhnya oleh askar Siam dan penembak hendap mereka ditempatkan di setiap sudut pekan tersebut. Perajurit yang ada ketika itu semuanya dibunuh dengan kejam.

Sultan Ahmad Tajuddin yang semakin berusia masih tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali negeri Kedah. Setelah cara ketenteraan gagal, baginda mencuba pula cara berdiplomasi.

Baginda telah menghantar putera bongsunya, Tunku Dai (Tunku Zainal Rashid, kemudian Sultan) untuk mengadap King Rama III. Dalam pertemuan tersebut, Tunku Dai berjanji akan mengakui kedaulatan Siam dengan syarat Sultan Kedah dikembalikan takhtanya.

Pada Jun 1842: Setelah berperang selama hampir 21 tahun, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dipulihkan takhtanya.

Kedah kembali bebas dari jajahan takluk Siam meskipun tanah melayu di kuasai keseluruhannya oleh British sehinggalah Malaya mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Sejarah mengajar kita untuk kembali menoleh kebelakang sebagai pengajaran agar kembali merenung betapa perjuangan orang yang terdahulu di penuhi dengan darah dan air mata demi sebuah kebebasan negara.

 

Asmirul Anuar Aris
Salam Kemerdekaan Ke-63

Pintu Gerbang Kacapuri,
Kota Kuala Kedah Menggamit
Sejarah Gemilang

(Visited 79 times, 1 visits today)

COMMENTS