Miliki MyKad setelah terlantar 50 tahun
Miliki MyKad setelah terlantar 50 tahun

Miliki MyKad setelah terlantar 50 tahun

BEDONG – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang terlantar sejak 50 tahun lalu gembira kerana akhirnya memiliki kad pengenalan yang diserahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di rumahnya, hari ini.

Biarpun tidak mampu bergerak dan bercakap, namun reaksi suara dan gerakan mata Rosli Ahmadi, 53, dari Kampung Kongsi 6, Bedong, Kedah menunjukkan dia gembira apabila kad pengenalan miliknya siap sepenuhnya.

Ibun tirinya, Rokiah Saad, 60, berkata, sebelum ini Rosli tidak pernah memohon kad pengenalan akibat keadaannya yang uzur.

“Dia sangat seronok bila dapat kad pengenalan, sebab selama ini, tak pernah mohon disebabkan keadaannya yang uzur, tetapi apabila JPN sendiri mai (datang) ke rumah, kami rasa lega sangat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.’

Rokiah menyaksikan penyerahan kad pengenalan oleh Yusman Hambali kepada Rosli yang terlantar kira-kira 50 tahun lalu.
Rokiah berterima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan Rosli mendapatkan kad pengenalan dan penyerahannya disempurnakan oleh Pengarah JPN Kedah, Yusman Hambali Ahmad.

Hadir sama, Ketua UMNO Merbok, Anuar Ahmad, barisan Community Polising Malaysia Cawangan Gurun, Klinik Kesihatan Bedong dan Panel Penasihat Kesihatan Klinik Bedong.

Rosli memperoleh kad pengenalan itu melalui Mobile Ehsan JPN.

Sementara itu, Yusman Hambali berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk merujuk kad OKU serta sijil kelahiran yang dimiliki lelaki itu untuk memproses kad pengenalan.

Menurutnya, sejak 2019, Mobile Ehsan JPN menerima 169 permohonan di Kedah di mana 32 daripadanya masih dalam proses kelulusan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Mobile Ehsan JPN boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN Kedah di talian 04-7314585.

Artikel Penuh : SinarHarian

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS