Minggu suai kenal UUM diadakan secara dalam talian

Minggu suai kenal UUM diadakan secara dalam talian

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) melaksanakan Minggu Suai Kenal secara maya di Facebook rasmi UUM melibatkan pelajar baharu semester pertama 2020/2021, berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, UUM mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya mengadakan program itu secara dalam talian.

Menurutnya, dalam sesi selama satu jam itu, beliau menerangkan tentang latar belakang UUM termasuk pengurusan, staf, kemudahan disediakan, pusat pengajian serta pencapaian universiti untuk makluman pelajar baharu.

“Pandemik Covid-19 masih belum berakhir, saya ingin berpesan kepada pelajar supaya menjaga diri dan sentiasa mematuhi arahan kerajaan, ia bukan sahaja kepada pelajar tempatan malah pelajar antarabangsa, antaranya Zimbabwe, India, Indonesia, Qatar dan Yemen. Diharap kita dapat memutuskan penularan wabak ini,” katanya pada sesi santai Naib Canselor bersama pelajar baharu semester pertama 2020/2021 dari Bilik Mesyuarat Naib Canselor, hari ini.

“Saya berharap keadaan akan kembali normal dan pelajar dapat datang secara fizikal, saya yakin pelajar juga tidak sabar untuk menikmati kehidupan di kampus Sintok,” katanya.

Pada sesi itu, Dr. Ahmad Bashawir turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar yang bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan UUM.

Pada kemasukan kali ini, UUM menerima 4,477 pelajar baharu menerusi pendaftaran secara online.

Daripada jumlah itu, seramai 1,169 adalah pelajar lelaki dan 3,258 pelajar perempuan manakala 50 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara.

Artikel Penuh : Sinar Harian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )