Muhyiddin nafi pernah tawar jawatan TPM pada Shafie Apdal

Muhyiddin nafi pernah tawar jawatan TPM pada Shafie Apdal

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Shafie Apdal sebagaimana dilaporkan sebuah portal pada 14 Julai lalu.

“Saya tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan itu kepada beliau pada bulan Mac selepas saya menjadi Perdana Menteri seperti yang didakwa,” katanya Muhyiddin dalam kenyataannya hari ini.

Muhyiddin menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Shafie Apdal adalah andaiannya semata-mata.

“Saya menyifatkan kenyataan Dato Seri Shafie Apdal dalam wawancara sama yang menyatakan: “Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu ‘’ sebagai tidak benar. Kenyataan itu adalah andaian beliau semata-mata,” katanya.

Terdahulu, dalam satu wawancara bersama media Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin pernah menawarkan beliau untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional sebagai timbalannya.

Ini selepas Shafie mendedahkan Muhyiddin berhubung dengannya untuk mendapatkan sokongan Warisan supaya dapat memperkuat PN.

Shafie berkata, Muhyiddin telah menghubunginya kira-kira dua minggu setelah PN berkuasa, mencadangkan pertemuan antara mereka.

“Ketika itu beliau sudah memegang jawatan tersebut (PM), beberapa minggu saya fikir, beliau menghantar SMS kepada saya. Beliau mengatakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk kami bercakap,” katanya sepertimana dilaporkan hari ini.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )