Nabila Razali Tidak Dapat Nyanyi Dengan Baik Akibat Disihir?
Nabila Razali Tidak Dapat Nyanyi Dengan Baik Akibat Disihir?

Nabila Razali Tidak Dapat Nyanyi Dengan Baik Akibat Disihir?

Andai diikutkan rasa hati, mahu sahaja gadis ini mengabaikan pesanan doktor dan menyahut cabaran menyanyikan lagu
Peluang Kedua pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 yang sepatutnya berlangsung pada 22 November lalu.

Akui Nabila Razali, demi kepuasan, selain tidak mahu dianggap ‘pengecut’ seperti yang dilabel netizen apabila menarik diri,
dia sanggup mengenepikan kesihatan biarpun menyedari risiko besar menanti.

Baca Juga : ‘Kami Sudah Lama Nak Memeluk Islam’ – Ka Lian

Bagi Nabila, peluang keemasan itu harus direbut kerana sudah lama dia menantikan saat itu, apatah lagi,
single dan lirik ciptaan Hael Husaini itu ibarat karya agung baginya. Mengapa tidak, lagu itu adalah naskhah sulung
terbitan syarikatnya, Nabila Razali Entertainment.

Malah, Nabila sudah bersedia untuk berdepan segala kemungkinan berikutan kedegilannya itu.
Namun, kewarasan fikiran dan nasihat individu di sekeliling membuatkan dirinya akur dengan kenyataan bahawa
bukan rezekinya untuk menyanyikan lagu itu pada SFMM35.

“Ketika dimaklumkan doktor bahawa saya mempunyai masalah kecederaan peti suara dan dinasihat berehat daripada
menyanyi untuk tempoh yang sukar dijangka, hati saya hancur dan saya menangis.

“Perasaan sedih yang saya alami saat itu amat sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.

“Bayangkan, ini adalah lagu pertama yang menjadi hak cipta saya dan sudah tentu saya mahu menyanyikan sendiri
pada pertandingan yang cukup bermakna itu.

“Kalau diikutkan, saya memang nekad untuk beraksi walaupun doktor sudah beri amaran.

“Tidak kisahlah kalau nyanyian saya tak sedap atau tidak dapat menyampaikannya dengan baik asalkan saya
puas hati dapat mendendangkan sendiri lagu itu,” katanya kepada BH Online.

Namun, selepas dinasihati dan memikirkan risiko yang bakal dihadapi yang memungkinkan dia melupakan terus karier nyanyian, Nabila akur.

“Saya terpaksa akur untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada penyanyi lain sebagai ganti,” katanya ketika ditemubual kapsul hiburan BHTV, Apa Kes? baru-baru ini.

Diusik apakah dia akan membuat kejutan untuk muncul membuat persembahan ke peringkat akhir,
bekas peserta program Akademi Fantasia (AF) musim ke-10 ini enggan menjanjikan apa-apa.

“Doktor menasihatkan saya berehat untuk suatu tempoh yang lama. Walaupun kecederaan yang saya alami tidak begitu serius iaitu ada ketulan kecil pada peti suara, namun, doktor menyarankan saya berehat dan mengurangkan penggunaan suara. Saya tidak dibenarkan menggunakan nada tinggi ketika bercakap.

“Jika berada dalam suasana yang bising, saya dilarang menjerit jika mahu berkomunikasi. Bukan sahaja terpaksa melupakan bidang nyanyian buat seketika, saya juga berehat dari melakukan kerja yang membabitkan tempoh masa yang lama seperti berlakon.

“Justeru, buat masa ini saya terpaksa menolak tawaran berlakon,” katanya.

Nabila berkata, kali terakhir dia membuat persembahan berskala besar adalah pada malam konsert Lazada, bulan lalu.

“Drama Biarkan Mereka Cemburu yang disiarkan di saluran Astro Ria ketika ini adalah drama akhir lakonan saya,” jelas penyanyi dan pelakon berusia 28 tahun ini.

Mengulas telahan apakah penyakitnya itu ada kaitan dengan sesuatu yang mistik, penyanyi yang popular dengan lagu Pematah Hati ini mengakui perkara itu pernah terdetik dalam hatinya.

“Tipulah kalau perkara itu tidak terlintas dalam fikiran. Tapi saya tak mahu menggalakkan diri membiarkan pemikiran sebegitu sebagai punca setiap kali saya ditimpa musibah.

“Tidak mahu orang kata saya terlalu percaya kepada tahyul. Lagipun, saya bukan sesiapa untuk perkara seperti itu terjadi. Mungkin sudah ditakdirkan untuk saya berehat sebentar kerana sebelum ini saya tidak cukup rehat.

“Saya banyak bermuhasabah diri apabila mengenangkan aset saya terganggu,” katanya sambil menepis tanggapan nakal itu.

Selain berehat, Nabila juga mengamalkan petua yang dikongsi penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai rawatan alternatif untuk peti suaranya itu.

“Saya merujuk kepada beberapa penyanyi yang pernah mengalami masalah serupa dengan saya. Ada antara mereka mengambil masa berbulan-bulan untuk sembuh. Siti antara yang berkongsi petua dan menyarankan saya minum air sarang burung sebagai antara rawatan berkesan menyembuhkan keadaan,” katanya.

Berdepan situasi kesihatan yang tidak mengizinkan hingga terpaksa mengenepikan soal kerja, pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali ini mengaku perkara itu sangat membimbangkannya kerana membabitkan soal periuk nasi.

“Sudahlah situasi gawat berikutan penularan wabak COVID-19, terpaksa pula berehat daripada bidang nyanyian dan lakonan. Jadi, saya memang tertekan. Tidak dinafikan situasi ini mengakibatkan punca pendapatan terjejas.

“Mujur saya menjadi duta produk dan menjayakan kempen dalam media sosial, dapatlah menampung perbelanjaan.

“Sejujurnya, saya lebih suka melihat perkara ini daripada sudut yang lebih positif. Barangkali, sebelum ini saya terlalu sibuk bekerja hingga tidak ada masa hendak berehat. Makan dan tidur juga tidak menentu. Mungkin tersembunyi hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Tidak mengapa jika saya terpaksa berkorban buat sementara waktu. Manalah tahu pada masa akan datang, rezeki datang melimpah ruah. Saya kena bersabar dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sebelum ini, keputusan Nabila menarik diri membuat persembahan pada SFMM dibuat di saat akhir atas nasihat doktor, guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat dan komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini serta MFMF.

Biarpun kemampuan suara sering dipertikaikan namun dia tidak pernah berhasrat berhenti menyanyi.

Konsert ketiga SFMM35 akan dianjurkan pada 15 Disember ini dengan pelaksanaan operasi standard (SOP) ketat.

Sumber Artikel

Baca Juga : Lembu pakai ‘coli’

(Visited 61 times, 1 visits today)

COMMENTS