Nasib Zahid diketahui esok, hadapi 40 kes pertuduhan rasuah
Nasib Zahid diketahui esok, hadapi 40 kes pertuduhan rasuah

Nasib Zahid diketahui esok, hadapi 40 kes pertuduhan rasuah

SHAH ALAM – Selepas tiga tahun turun naik mahkamah, nasib bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sama ada dibebaskan atau diperintah bela diri atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui Jumaat ini.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa, selepas pasukan pendakwaan dan pembelaan selesai menyampaikan hujahan lisan selama empat hari bermula 1 September lalu.

Dalam kes ini, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Sementara pasukan pembelaan yang mewakili Ahmad Zahid, dibarisi peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Sebelum membuat keputusan, mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, menyemak 107 eksibit kes dan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Presiden UMNO ini akan diperintah untuk membela diri.

Namun, jika keadaan sebaliknya berlaku, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini akan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Perbicaraan kes ini berlangsung selama 29 hari bermula 24 Mei 2021 manakala prosiding selesai pada 11 Ogos lalu.

Susulan itu, pihak pendakwaan menutup kes ini selepas memanggil 18 saksi, antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas Pengarah Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Berbeza dengan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, prosiding rasuah berhubung Sistem VLN membabitkan Ahmad Zahid kurang diselitkan dengan plot-plot kontroversi.

Jika ada sekalipun, prosiding hanya tertangguh disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), saksi dijangkiti Covid-19 dan Ahmad Zahid perlu menerima rawatan sakit leher serta belakang di luar negara.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi kes ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Peruntukan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagi semua pertuduhan, Ahmad Zahid dibebaskan atas jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berdepan satu pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya sebanyak Euro 15,000.

Namun pada 16 Jun lalu, pendakwaan meminda pertuduhan ketiga kes itu daripada Euro 15,000 kepada 15,000 Swiss Franc.

Ini menyebabkan pertuduhan itu dibaca semula dan Ahmad Zahid mengulangi pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Dalam prosiding terdahulu, antara yang menarik perhatian ialah kenyataan Siong Sun, bahawa catatan ‘monster, ‘young boy’ dan ‘yb’ dalam lejar syarikat merujuk kepada Ahmad Zahid.

Siong Sun berkata, nama kod itu dibuat kerana bimbang jika lejar itu terdedah kepada orang lain.

Ketika membaca pernyataan saksinya, Siong Sun berkata, rekod semua pembayaran yang dibuat kepada Ahmad Zahid sejak 2014 hingga 2018 telah disimpan untuk rekod peribadinya kerana jumlah wang tunai yang terlibat adalah besar.

Sementara Vui Khiun pula menyatakan, bahawa ‘KJ’ dan ‘bomoh’ adalah antara perkataan yang direkodkan dalam lejar UKSB yang dibentangkan dalam perbicaraan rasuah itu.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan mendakwa pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah bersifat terpilih apabila kes rasuah berkaitan kontrak syarikat UKSB di Mahkamah Tinggi hanyalah melibatkan sumbangan politik.

Hisyam yang mengetuai pasukan pembelaan mempertikaikan, jika sumbangan politik menjadi asas dalam pertuduhan, nama-nama yang disebut oleh saksi dalam kes ini juga, perlu disiasat.

(Visited 678 times, 1 visits today)

COMMENTS