Negeri Sembilan sasar empat emas tinju dan angkat berat Sukma
Negeri Sembilan sasar empat emas tinju dan angkat berat Sukma

Negeri Sembilan sasar empat emas tinju dan angkat berat Sukma

Seremban:Atlet sukan tinju dan angkat berat Negeri Sembilan bakal menjanjikan persembahan yang terbaik dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya empat pingat emas buat kontinjen Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan (PTANS) dan Persatuan Angkat Berat Negeri Sembilan (PABNS), Mohamed Jani Ismail berkata, pihaknya sedang membuat persiapan rapi dalam menyediakan atlet terbaik bagi menghadapi temasya sukan tersebut.

Ulasnya,biarpun jumlah acara akan disertainya belum dimuktamadkan kerana menunggu pengesahan daripada pihak penganjur, namun pihaknya sudah menyediakan barisan atlet terbaik bagi kedua-dua acara tinju dan angkat berat.

“Terdapat lapan peninju yang boleh disenaraikan untuk membawa cabaran Negeri Sembilan yang kini dibimbing ketua jurulatih, P Sundarajah.

“Walaupun sukar menjangkakan cabaran yang bakal dihadapi susulan dua tahun tidak dapat menyertai sebarang kejohanan kerana pandemik Covid-19, tetapi persiapan terbaik perlu dibuat untuk memastikan penyertaan kami membuahkan hasil memuaskan.

Kita yakin akan dapat meraih pingat dalam kedua-dua acara ini berdasarkan rekod Sukma sebelum ini yang tidak pernah mengecewakan,” ulasnya.

Mengenai sukan angkat berat pula, Mohamed Jani berkata, baru-baru ini atlet Negeri Sembilan, Noor Faizwaa Al-Ikhwan meraih dua pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Jemputan Perak yang berlangsung di Ipoh pada 10-12 Februari lalu.

Menurutnya, atlet terbabit memenanginya bagi kategori snatch selepas berjaya mengangkat seberat 91 kilogram (kg) dan acara clean & jerk dengan angkatan 121kg.

Ulasnya, kejohanan itu disertai 95 atlet dari Perak, Kelantan, Perlis, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Noor Faizwaa adalah antara atlet yang akan menjadi sandaran kita untuk meraih emas di Sukma tahun ini.

“Mengambil kira persiapan rapi dan pencapaian atlet ini, saya yakin prestasi dan pencapaian atlet kita tidak akan mengecewakan,” katanya.

Mohamed Jani turut menegaskan, pihaknya sedang memberikan fokus utama kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet tinju dan angkat berat pelapis sebagai persiapan jangka panjang.

“Kami sudah merancang untuk mengadakan program atau kejohanan peringkat sekolah dalam usaha mengesan bakat baru sukan tinju dan angkat berat, yang akan bermula tahun ini,”ulasnya.

(Visited 17 times, 1 visits today)

COMMENTS