Nelayan Thailand ceroboh Malaysia ditahan
Nelayan Thailand ceroboh Malaysia ditahan

Nelayan Thailand ceroboh Malaysia ditahan

Lima nelayan warga Thailand yang menaiki sebuah bot pukat tunda tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah dalam satu rondaan Op Aman kira-kira empat batu nautika dari pesisir pantai barat Yan, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, berkata bot itu ditahan sekitar jam 5.30 pagi tadi bersama lima orang nelayan warga Thailand termasuk tekong berusia antara 31 hingga 63 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka bekerja dengan nelayan tempatan dan mempunyai pasport serta kebenaran bekerja di negara ini, namun sudah tamat tempoh.

“Mereka ditahan atas dua kesalahan iaitu, mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan akan didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen.

“Selain itu mereka disiasat mengikut Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 memperuntukkan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 pula, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, bot serta hasil tangkapan dianggarkan 1.5 tan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Sumber- Bharian

(Visited 12 times, 1 visits today)

COMMENTS