Nenek uzur tabah jaga anak dan cucu OKU

Nenek uzur tabah jaga anak dan cucu OKU

Changlun – Kisah seorang nenek yang uzur menjaga anak dan cucu kelainan upaya di Batu 13, Jalan Sintok- Changlun menarik perhatian penduduk yang prihatin. Aishah Musa, 79, menjaga anaknya, seorang OKU pembelajaran bersama cucu yang juga merupakan seorang OKU pembelajaran tinggal di rumah mereka yang agak daif.

Beliau yang juga seorang ibu tunggal tidak bekerja manakala anaknya yang OKU, ditinggalkan suami (gantung tak bertali) dan mempunyai seorang anak OKU berusia 10 tahun. Keadaan rumah yang diduduki mereka agak daif dengan kayu-kayu yang sudah reput dimakan anai-anai.

Menurutnya, rumah ini diduduki oleh mereka sahaja kerana anak-anak yang lain sudah meninggal dunia, maka tinggallah anaknya dan cucu yang OKU ini sahaja.

“Mujurlah saya boleh berjalan lagi nak uruskan rumah, anak serta cucu, kalau saya tiada lagi, siapalah nak jaga mereka”, katanya sayu.

“Kalau dapat rumah pun dah cukup dah, bagi selesa mereka, kita dah uzur dah, lagipun adik beradik lain dah tak dak, sapalah nak jaga mereka dengan mereka OKU lagi,” katanya lagi.

NGO Sahabat Prihatin Negeri Kedah meninjau keadaan rumah Aishah yang teruk dimakan anai-anai

Menurut Aishah lagi, anak beliau pernah mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun kini telah dihentikan kerana tiada sesiapa yang boleh membantu untuk mengemaskini maklumat anaknya itu di JKM. Beliau juga berharap ada sesiapa yang dapat membantu untuk anaknya itu mendapatkan semula bantuan dari JKM.

“Kalau boleh bantu, bantulah apa yang patut, kesian mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya selepas menerima kunjungan Imam dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kg. Tradisi bersama NGO Sahabat Prihatin Negeri Kedah petang tadi.

Pihak Masjid dan NGO Sahabat Prihatin juga menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga ini.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )