‘Nikmatnya Tak Terlupa’, kedai roti canai “janda” jadi perhatian

‘Nikmatnya Tak Terlupa’, kedai roti canai “janda” jadi perhatian

POKOK SENA: Restoran Roti Canai Janda yang diusahakan dua beranak berstatus janda di Kampung Baru Derang, Pokok Sena dekat sini menjadi tumpuan pelanggan termasuk dari luar daerah ini sejak tiga tahun lalu.

Pemilik restoran itu, Norasiah Abdul Rahman, 47, mengunakan slogan ‘Nikmatnya Tak Terlupa’ sehingga menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan pintas dari Pokok Sena ke Bandar Darulaman, Jitra.

Norasiah yang berpisah dengan suaminya sejak 2007 mengakui slogan itu memikat ramai pelanggan untuk menikmati roti canai yang ditebarnya sendiri.

Menurutnya, dia dibantu anak sulungnya, Nurul Nadia Ismail, 27, yang juga ibu tunggal selepas ditinggalkan suaminya awal tahun ini.

“Nama restoran ini diberi berdasarkan status saya sebagai janda dan setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui di restorannya di sini semalam.

Norasiah memberitahu, dalam sehari, dia dapat menjual kira-kira 400 biji roti canai dan antara sajian popular di restoran itu ialah roti canai sarang burung serta roti doll.

“Roti canai itu saya sendiri yang tebar dan kuah serta sambal pun saya masak sendiri,” katanya.

Norasiah mempunyai tiga orang anak termasuk anak kedua bernama Nurul Hidayah, 26, yang sudah berumah tangga dan menetap di Kuala Lumpur dan anak ketiga Mohd. Ariff Fahami, 21, yang tinggal bersama bekas suaminya.

Norasiah memberitahu, selain itu, antara menu lain yang dijual di restorannya ialah laksa, nasi campur dan pulut ikan kering.

Katanya, restorannya itu dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 6 pagi hingga 1.30 petang.

“Bagaimanapun, ada beberapa pelanggan mula menunggu untuk minum dan makan di restorannya seawal pukul 5 pagi,” tambahnya.

Dalam pada itu, menurutnya, dia kecewa apabila terdapat segelintir masyarakat yang yang membuat pelbagai persepsi apabila menamakan restorannya itu dengan perkataan ‘janda’.

“Saya juga berdepan usikan pelanggan lelaki, namun saya tidak mengendahkannya dan menganggap mereka sebagai pelanggan sahaja,” katanya.

Dia berkata, semangatnya tidak luntur berhadapan dengan tohmahan masyarakat kerana dia mahu mencari rezeki yang halal bagi menyara kedua ibu bapanya, Abdul Rahman Hashim dan Sofiah Ibrahim, masing-masing berusia 75 tahun.

– UTUSAN ONLINE

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )