Nombor plat KFA jadi rebutan bermula khamis ini
Nombor plat KFA jadi rebutan bermula khamis ini

Nombor plat KFA jadi rebutan bermula khamis ini

ALOR SETAR – Nombor siri pendaftaran KFA yang akan dibuka bermula Khamis ini di talian Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dijangka jadi rebutan dan mampu mengutip hasil bidaan mencecah lebih RM2 juta.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Sharif berkata, pihaknya percaya orang ramai terutamanya penyokong dan peminat pasukan Kedah tidak akan melepaskan peluang ini untuk mendapatkan nombor siri pendaftaran kegemaran mereka kerana sinonim dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menurutnya, sebelum ini terdapat sebuah syarikat yang mahu mendapatkan tender semua nombor siri KFA kerana mahu menjualnya sendiri namun tidak dibenarkan oleh pihaknya.

“Nombor siri pendaftaran KFA ini dibuka bermula Khamis sehingga Isnin depan iaitu selama lima hari. Kita buka tender nombor siri 1 hingga 9999 kepada orang ramai kecuali nombor 8 kerana nombor ini sudah dikhaskan kuota untuk seorang orang kenamaan (VVIP).

“Orang ramai boleh membuat bidaan KFA di JPJeBid bermula jam 12 tengah malam 12 November hingga 11.59 malam 16 November ini,” katanya pada sidang akhbar di di Pejabat JPJ Kedah, Suka Menanti, dekat sini semalam.

Tambahnya, nombor siri tersebut boleh dibida bermula dengan harga RM300 bagi nombor biasa, RM3,000 bagi nombor menarik dan bagi kategori nombor bernilai utama iaitu 1 sehingga 10 bermula pada RM20,000 dengan kenaikan bidaan minimum bermula RM1,000.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismasuhaimi berkata, JPJ Kedah telah mengeluarkan 21 notis saman termasuk muatan bahaya di sekitar daerah Kota Setar, Sungai Petani dan Baling pada 19 Oktober hingga 22 Oktober lalu menerusi Operasi Khas Lebih Muatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, operasi tersebut dilakukan hasil aduan orang ramai apabila terdapat serpihan daripada lori yang membawa muatan lebih dan berbahaya terpelanting ke arah kenderaan lain.

“Ada juga yang menukar modus operandi operasi dari waktu siang kepada malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Pihak kami melakukan penyamaran di waktu malam untuk mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya

Artikel Penuh : SinarHarian

(Visited 48 times, 1 visits today)

COMMENTS