Orang awam digesa supaya berhenti beli kosmetik ada merkuri
Orang awam digesa supaya berhenti beli kosmetik ada merkuri

Orang awam digesa supaya berhenti beli kosmetik ada merkuri

KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik Momila Beauty Whitening Cream yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata produk terbabit mengandungi merkuri dan notifikasinya sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM serta tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan hingga boleh merosakkan buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan, selain menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, penjual dan pengedar produk kosmetik perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Orang awam digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

© New Straits Times Press (M) Bhd

(Visited 35 times, 1 visits today)

COMMENTS