Orang ramai diseru derma darah, bekalan kritikal bagi tampung keperluan di Kedah
Orang ramai diseru derma darah, bekalan kritikal bagi tampung keperluan di Kedah

Orang ramai diseru derma darah, bekalan kritikal bagi tampung keperluan di Kedah

ALOR SETAR, 10 Dis — Orang ramai diseru untuk menderma darah bagi menampung bekalan yang agak kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, kata Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HSB, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir.

Beliau berkata penularan pandemik COVID-19 menimbulkan kebimbangan kepada penderma darah untuk turun menderma menyebabkan berlakunya penurunan kutipan darah di negeri ini.

“Keperluan darah meningkat baru-baru ini berikutan peningkatan jumlah kes pembedahan elektif dan kes lain yang memerlukan transfusi darah…penurunan kutipan darah berlaku kerana banyak institusi pengajian awam dan swasta ditutup, sebahagian besar penderma adalah dalam kalangan warga institusi itu.

“Jumlah penderma darah di Unit Pendermaan Darah juga semakin berkurangan dan tanpa stok darah yang mencukupi, perawatan pesakit mungkin terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Siti Nadiah berkata proses pendermaan darah adalah mudah dan hanya mengambil masa antara 30 hingga 45 minit sahaja dan setiap satu pendermaan darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.

“Kriteria asas pendermaan darah ialah berumur antara 17 hingga 60 tahun, sihat tubuh badan, tidur melebihi lima jam, tidak mengambil ubat terlarang dan mempunyai berat badan mencukupi iaitu 45 kilogram ke atas.

“Orang ramai yang ingin menderma darah boleh ke Unit Pendermaan Darah di HSB, atau Pusat Darah Wilayah di sebelah Penjara Alor Setar dan jika ada pertanyaan, boleh hubungi talian 04-7406051,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 15 times, 1 visits today)

COMMENTS