'Pak Guard' sekolah ada rekod jenayah undang kerisauan - Aktivis
‘Pak Guard’ sekolah ada rekod jenayah undang kerisauan – Aktivis

‘Pak Guard’ sekolah ada rekod jenayah undang kerisauan – Aktivis

PETALING JAYA: Laporan yang mendedahkan seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Cheras memiliki rekod kes cabul dan ragut lampau mencetuskan kebimbangan, kata seorang aktivis pendidikan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul berkata, lebih memburukkan keadaan ialah apabila pengawal keselamatan terbabit dikatakan menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan.

Biarpun siasatan masih dijalankan, Noor Azimah tetap mempersoalkan bagaimana pengawal keselamatan itu boleh diambil bekerja walaupun mempunyai rekod kes jenayah.

“Sebagai ibu bapa, kita percaya latar belakang syarikat pengawal keselamatan dan kakitangan mereka telah diperiksa,” katanya kepada FMT.

“Insiden ini menimbulkan kebimbangan mengenai kakitangan sokongan sampingan di sekolah dan pemeriksaan pengesahan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).”

Polis dilaporkan menahan seorang pengawal keselamatan selepas penemuan mayat penyelia kedai buku wanita yang rentung susulan kebakaran di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, iaitu tempat kedua-duanya bekerja.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim kemudiannya mendedahkan bahawa pengawal keselamatan yang telah bekerja di sekolah itu selama dua tahun mempunyai empat rekod sabitan lampau, antaranya kes cabul dan ragut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Ramli Yusuff berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

Beliau berkata, walaupun KPM memberikan kontrak kepada firma keselamatan, namun ia tetap menjadi tanggungjawab firma terbabit untuk memeriksa latar belakang pengawal mereka.

Katanya, kontrak itu biasanya mempunyai tempoh tiga tahun dan melibatkan zon tertentu, iaitu setiap zon terdiri daripada kira-kira 12 sekolah.

Manakala itu Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) Mak Chee Kin berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap firma keselamatan yang mempunyai kakitangan terlibat dalam kes jenayah, termasuk menamatkan kontrak mereka.

Mak turut menggesa firma supaya lebih tegas dalam mengambil kakitangan selain berkata, syarikat yang terdesak akan mengambil “sembarangan orang” tanpa melakukan pemeriksaan latar belakang.–FMT

(Visited 51 times, 1 visits today)

COMMENTS