Pakatan Harapan lancar Kempen Jom Vaksin Kedah

Pakatan Harapan lancar Kempen Jom Vaksin Kedah

Pakatan Harapan Negeri Kedah melancarkan Kempen Jom Vaksin Kedah bertujuan membantu masyarakat terutama penduduk pedalaman atau warga emas khususnya di negeri ini untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid19.

Menurut Pengerusi Sekretariat “Jom Vaksin Kedah”, YB Dato’ Dr. Ismail bin Salleh, inisiatif itu diambil bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok 80% bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan dan ekonomi rakyat.

YB. Dato’ Dr Ismail Salleh, Pengerusi Sekretariat “Jom Vaksin Kedah”

“Kempen ini kita lancarkan disebabkan oleh pendaftaran untuk vaksinasi di negeri Kedah ini masih lagi di tahap yang kurang memuaskan. Walaupun kita lihat dalam melawan Covid-19 ini kerajaan (PN) telah kalah (akibat peningkatan kes yang mendadak), usaha untuk vaksin juga dilihat lembab namun, kita mahu rakyat menang. Tidak ada jalan lain melainkan semua rakyat mesti divaksin,” ujar beliau.

Bagi melancarkan usaha ini, Pakatan Harapan negeri Kedah telah menyediakan lebih 100 sukarelawan mengikut parlimen dan Dun di seluruh negeri.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan negeri Kedah, YB. Dato’ Johari Abdul dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada sekretariat yang diketuai oleh Dato’ Dr Ismail Salleh yang menjalankan program Jom Vaksin Kedah ini demi membantu petugas-petugas kesihatan khususnya di negeri Kedah.

YB. Dato’ Johari Abdul, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kedah

“Kita merasa simpati kepada petugas-petugas kesihatan yang bekerja siang dan malam untuk memastikan proses vaksinasi ini berjalan lancar. Atas kesedaran itulah, kita perlu membantu dengan menyediakan sukarelawan-sukarelawan ini. Untuk permulaan, kita bantu untuk mendaftarkan penerima vaksin terutama mereka yang tinggal di kampung-kampung dan warga emas dengan harapan mereka menerima vaksin secepat mungkin,” tambah beliau lagi.

Untuk senarai penuh petugas sukarelawan Jom Vaksin Kedah boleh diakses di laman facebook Pakatan Harapan Negeri Kedah.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )