Pas guna logo BN dalam PRU 15?
Pas guna logo BN dalam PRU 15?

Pas guna logo BN dalam PRU 15?

Sayap Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar logo Barisan Nasional (BN) digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu turut dipanjangkan kepada parti yang bukan komponen BN secara rasmi iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut beliau, cadangan itu perlu dipertimbangkan kepimpinan kanan parti yang terlibat bagi menunjukkan kesepakatan dan memastikan pertandingan satu lawan satu bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kalau ada pandangan yang mengatakan lambang BN ini sudah tak relevan dan tak laku, kami di peringkat Pemuda UMNO dan Pemuda BN sudah pun sepakat menyatakan kita mahu calon calon Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, dan parti komponen nak bertanding pada PRU akan datang, menggunakan lambang BN.

“Dan kalau parti parti lain termasuk Pas nak menggunakan lambang BN, kita mengalu-alukan … termasuk parti Bersatu. Bagi kita yang paling penting, persepakatan harus diadakan supaya dalam pilihan raya akan akan datang tidak berlakunya tiga penjuru,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, di sini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Perlembagaan BN tidak perlu dipinda sekiranya parti bukan komponen bersetuju bertanding di bawah logo itu.

Apa yang penting, jelasnya, perkara itu perlu dipertimbangkan pihak berkaitan bagi menunjukkan konsep kesepakatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda UMNO Malaysia bersetuju dengan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lepas bahawa parti itu tidak akan sertai usaha menubuhkan Perikatan Nasional secara rasmi.

Katanya, sayap itu percaya lambang BN masih dekat dan kekal relevan di hati rakyat, seterusnya memudahkan pengundi membuat keputusan sewaktu PRU kelak.

(Visited 39 times, 1 visits today)

COMMENTS