'Pas tidak kalah, cuma kemenangan tertangguh' - Khairuddin
‘Pas tidak kalah, cuma kemenangan tertangguh’ – Khairuddin

‘Pas tidak kalah, cuma kemenangan tertangguh’ – Khairuddin

PAS tidak kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya belum menang, kata bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, berkata neraca kemenangan PAS bukan pada angka undian sebaliknya kepada kerja-kerja perjuangan yang dilaksanakan.

Beliau berkata, meskipun ‘belum’ menang di Johor, PAS akan terus mencuba strategi yang baharu untuk menang pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Alhamdulillah. PAS menang kembali kerusi DUN Maharani yang pernah dimenangi dulu pada 2008 dan 2013. Boleh menang semula juga kerusi Bukit Pasir jika dicampur dengan undi bekas YB PAS yang bertanding bebas.

“13 kerusi lagi PAS tidak kalah cuma belum menang tetapi insyallah terus menang mendapat redha Allah. Kalah itu biasa bagi PAS. Menang itu luar biasa,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, PAS sentiasa bersedia untuk menghadapi ‘kalah dan menang’ dalam setiap pilihan raya disertai parti itu.

“PAS boleh terus berjihad sebagai pembangkang kepada kerajaan. Pembangkang yang mesra dan bersikap matang.

“Meskipun belum menang di Johor PAS masih akan terus mencuba dengan strategi yang baru untuk PRU mengharapkan kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, ahli parti itu akan terus bermuhasabah serta patuh dengan arahan kepimpinan.

Namun, katanya, kepimpinan PAS mesti membuat keputusan serta strategi yang lebih tepat dengan kajian yang lebih halus.

“Harus mendengar pandangan ahli bawahan dan jentera tempatan yang hidup bergelumang dengan rakyat setempat untuk kita mengukur baju di badan sendiri.

“Kerja dakwah diteruskan. Ahli dan penyokong perlu ditambah dan cawangan-cawangan PAS perlu terus dibuka bermula sekarang,” katanya.

Khairuddin berkata, beliau yakin PAS mampu mencipta kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Satu hari kemenangan pilihanraya akan dicipta juga cuma masa sahaja menentukan cepat atau lambat,” katanya.

PAS yang bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN) mendapat tamparan hebat dalam PRN Johor semalam, selepas tewas di 14 kerusi yang ditandingi.

PAS hanya berjaya menawan kerusi DUN Maharani yang sebelum ini disandang Amanah, yang juga merupakan parti serpihannya. – Malaysiapost

(Visited 36 times, 1 visits today)

COMMENTS