Pegawai JPJ antara yang direman kerana terima sogokan

Pegawai JPJ antara yang direman kerana terima sogokan

Dua lelaki berbaju lokap oren dan seorang wanita diiring SPRM di mahkamah

 

SEREMBAN – Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dan seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima sogokan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perintah reman terhadap suspek berusia 38 dan 28 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Syed Farid Syed Ali pada Selasa.

Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim.

Isteri kepada pegawai JPJ terbabit berusia 38 tahun turut direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan dalam Ops Kargo dilakukan Pusat Operasi Perisikan (POP) Zon Tengah, Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM pada 22 Mac lalu.

Difahamkan, pegawai JPJ berkenaan disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM300 hingga RM2,500 sebulan daripada pemilik syarikat dan individu melalui orang tengah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Isteri pegawai JPJ terbabit serta lelaki berusia 28 tahun itu pula disyaki turut terlibat.

Perbuatan itu dilakukan pada tahun 2016 hingga tahun 2021 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

(Visited 24 times, 1 visits today)

COMMENTS