Pejuang yakin menangi PRK Slim
Pejuang yakin menangi PRK Slim

Pejuang yakin menangi PRK Slim

Sekalipun kemeriahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dilihat cenderung kepada Barisan Nasional (BN), calon Bebas yang bertanding tetap yakin dengan peluang menawan hati pengundi.

Malah, Amir Khusyairi Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), mendapat keyakinan pemimpin parti untuk mencatat kejutan.

Presiden Penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengakui peringkat awal kempen kurang menyebelahi calon Bebas itu.

Bagaimanapun, katanya, keadaan dilihat sudah berubah dan mereka mula menarik perhatian pengundi selepas jentera calon aktif berkempen dan untuk memperkenalkan Amir Khusyairi.

“Walaupun beliau calon Bebas, parti pun dalam proses pendaftaran dan tak sempat menggunakan lambang parti untuk bertanding PRK DUN Slim, kita tetap mampu memberi saingan hebat kepada BN.

“Ini perkembangan yang sangat baik kerana kita tahu BN mempunyai jentera mantap dan banyak sumber serta berpengalaman dalam kempen pilihan raya,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri Program Culaan dan Ziarah dengan penduduk di FELDA Besout 1, Slim River, hari ini.

Selain Amir Khusyairi, program turut dihadiri Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

Mukhriz berkata, jentera akan terus berusaha memperkenalkan calon kepada masyarakat setempat.

“PRK DUN Slim ini dilihat mempunyai ramai pengundi atas pagar. Siapa yang dapat menawan golongan itu bakal memenangi PRK ini,” katanya.

Sementara itu, Amir Khusyairi berkata, tumpuannya terarah kepada berkempen untuk membawa suara anak muda di seluruh DUN Slim.

Beliau juga tidak terkesan dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang membangkitkan kedudukannya sebagai pengundi luar.

“Apa yang penting ialah wakil rakyat mesti boleh berkhidmat. Saya anak jati Perak dan Slim River ini dalam Perak.

“Saya perlu membantu bangunkan Perak, ” katanya.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu S Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi.

Berita Penuh : BERITA HARIAN

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS