Pelajar IPT tidak boleh balik raya jika duduk di lokasi PKPD

Pelajar IPT tidak boleh balik raya jika duduk di lokasi PKPD

Pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang menetap di lokaliti dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan negeri yang melaksanakan larangan pergerakan tidak dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menetapkan pelajar yang akan pulang ke kawasan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan untuk menjalani pengasingan kendiri selama enam hari di rumah keluarga masing-masing.

MKN melalui dokumen prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pengajian Tinggi bagi pergerakan pelajar IPT sempena cuti perayaan Aidilfitri, berkata proses saringan kesihatan akan dilakukan sebelum pelajar dibenarkan pulang.

“IPT akan mengeluarkan surat pelepasan perjalanan rentas daerah atau negeri kepada semua pelajar yang telah diberikan kebenaran pulang. IPT juga perlu membuat pelaporan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara harian berhubung jumlah pelajar yang telah bergerak pulang,” katanya.

KPT dalam satu kenyataan hari ini, berkata pelajar IPT di seluruh negara dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi negeri Sarawak.

Pergerakan pulang ke rumah akan dibuat secara berperingkat mulai 7 hingga 12 Mei 2021 manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus pada 15 hingga 20 Mei 2021.

MKN dalam dokumen sama turut mewajibkan semua pelajar yang akan pulang ke Sabah atau akan kembali ke negeri itu selepas cuti Aidilfitri menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) mengikut arahan kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, pelajar yang akan kembali ke kampus di Sabah selepas Aidilfitri secara berperingkat mulai 15 hingga 21 Mei 2021 tidak perlu menjalani proses pengasingan kecuali bagi mereka yang tiba daripada kawasan PKP.-BH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )