Pembalakan punca banjir lumpur di Sik, MB lepas tangan

Pembalakan punca banjir lumpur di Sik, MB lepas tangan

Banjir kilat beserta lumpur yang melanda daerah Sik baru-baru ini dikatakan berpunca dari aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik.

Dakwaan ini diperkuatkan lagi apabila banjir yang berlaku tidak hanya membawa bersama kayu balak dan ranting kayu yang hanyut, bahkan juga lumpur yang tebal.

Menurut seorang penduduk tempatan yang juga aktivis alam sekitar, Mohd Sabri Ramli, keadaan ini menandakan di hulu sungai terdapat aktiviti penebangan pokok dan hakisan tanah yang parah dan menyebabkan tinggalan sisa pokok seperti ranting, daun, batang dan perdu balak.

“Hujan yang turun menyebabkan air akan terkumpul dan menjadi satu tadahan yang besar. Apabila ia pecah boleh mengakibatkan banjir lumpur dan sisa pokok yang mengakibatkan kemusnahan yang teruk di laluannya. Situasi seperti ini mirip tragedi Pos Dipang” tambah beliau lagi yang merujuk kepada tragedi banjir lumpur Pos Dipang pada 1996. Dalam tragedi tersebut yang berlaku di Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak, lebih 40 orang telah terkorban manakala lima orang hilang tidak dapat dikesan.

Beliau juga berharap kerajaan negeri khususnya menteri besar dapat melakukan sesuatu untuk mengelakkan tragedi seumpama itu berulang, bukan hanya pandai berkongsi gambar menyampaikan bantuan, tetapi juga menyelesaikan masalah pembalakan yang menjadi punca kejadian banjir lumpur ini.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )