Pembelajaran dalam talian, Ibu bapa mula risau kesihatan anak terjejas

Pembelajaran dalam talian, Ibu bapa mula risau kesihatan anak terjejas

Ramai ibu bapa meluahkan kebimbangan mengenai kesihatan anak-anak mereka yang perlu memberikan tumpuan lama di hadapan skrin gajet, kerana mengikuti kelas dalam talian termasuk menggunakaan Zoom dan Google Meet selepas sekolah ditutup.

Seorang ibu bapa itu berkongsi pengamalannya dengan MalaysiaNow mengatakan dua orang anaknya menerima kesan negatif daripada kelas dalam talian dengan salah seorang daripadanya terpaksa mendapatkan bantuan cermin mata berkuasa tinggi pada usia muda.

Hafizah Aarif, 46 berkata, anak sulungnya yang berumur 16 tahun pula berdepan dengan kesukaran untuk tidur sehingga perlu berjumpa doktor.

“Saya percaya, bukan sahaja anak-anak, tetapi para guru juga mengalami masalah yang sama. Semua tahu pembelajaran dalam talian memang akan merisikokan murid dalam banyak aspek terutama sekali kesihatan mereka,” katanya.

Hafizah bimbang jika anak-anaknya itu perlu mengikuti kelas dalam talian sehingga tahun depan, kerana tiada sebarang jaminan diberikan mengenai sesi persekolahan akan dibuka semula pada tahun 2021.

“Murid-murid ini tak mampu lagi nak bertahan. Tidak cukup mereka dikurung, mereka juga rasa dikongkong dengan jadual kelas yang padat.”

Baru-baru ini kementerian pendidikan mengumumkan penutupan sekolah-sekolah di seluruh negara berikutan peningkatan kes Covid-19.

Kali pertama sekolah dan institusi pengajian seluruh negara ditutup pada Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum dibuka semula secara berperingkat bermula Jun.

“Saya percaya, bukan sahaja anak-anak, tetapi para guru juga mengalami masalah yang sama. Semua tahu pembelajaran dalam talian memang akan merisikokan murid dalam banyak aspek terutama sekali kesihatan mereka,” katanya.

Tetapi selepas beberapa penularan kes Covid-19 dilaporkan berlaku di sekolah dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memaksa pihak berkuasa membatalkan sesi persekolahan dan meminda tarikh bagi beberapa peperiksaan awam.

Putrajaya berkata pihak sekolah perlu meneruskan sukatan pelajaran secara dalam talian.

Tetapi Hafizah berkata kelas dalam talian tidak lagi “menyeronokkan” seperti awal-awal ketika anak-anaknya mula mengikutinya.

“Mula-mula dulu, memang seronok lah sebab tak pergi sekolah. Duduk depan komputer tengok muka cikgu, kalau dah sampai berbulan mana boleh tahan lagi,” tambahnya.

Hafizah sebelum ini berkongsi di Facebook mengenai masalah ini hingga meraih ulasan bertali arus di ruangan komen daripada ibu bapa lain yang rata-rata ibu bapa berkongsi masalah sama.

Setakat ini perkongsian Hafizah mendapat lebih 4,000 sukaan, kira-kira 5,000 komen dan dikongsi lebih 1,000 kali.

Hafizah bimbang mengenai nasib anak gadisnya itu yang merupakan seorang pelajar di sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan.

Anaknya yang berusia 16 tahun itu sebelum ini seorang yang ceria berubah menjadi pendiam dan suka berkurung di dalam bilik sejak pembelajaran dalam talian dilaksanakan.

Anak sulungnya juga kerap mengadu sakit kepala, dan berhenti menggunakan telefon pintar.

Hafizah berkata doktor mendapati anaknya mempunyai tanda-tanda awal kemurungan peringkat rendah menyebabkannya tidak bercakap dan sering bersendirian.

“Saya duduk bersama anak dan berbincang mengenai perkara ini, luluh hati saya apabila dia mengatakan dirinya letih untuk mengikuti kelas dalam talian dari awal pagi hingga petang dan tidak cukup tidur kerana kerja rumah dan latih tubi yang berlambak.”

Bukan Hafizah sahaja mengalami pengalaman yang melibatkan anak-anak ketika pelaksanaan PKPB.

Mohamad Imran Salehuddin, 39, berkata anak lelakinya yang berusia 11 tahun mudah berasa cemas setiap kali sebelum kelas bermula, kerana bimbang tidak mampu mengikuti apa yang diajar guru selain masalah gangguan internet.

“Dari Isnin hingga Jumaat, dia akan jadi mudah beremosi,” kata Imran selepas dihubungi.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan atau PAGE merasakan ibu bapa perlu menjadikan kesihatan anak-anak sebagai keutamaan dengan berwaspada dengan penggunaan gajet berlebihan.

“Pembelajaran tidak terhad hanya kepada dalam talian, banyak cara lain untuk belajar. Menolong ibu bapa di rumah dan kerja rumah, seperti memasak juga boleh menjadi pelajaran,” kata Presiden PAGE Noor Azimah Abdul Rahim.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata, dalam waktu krisis seperti ini kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menghalang para murid dan guru-guru ke sekolah dalam usaha membendung Covid-19.

Katanya penutupan sekolah merupakan langkah perlu, dan mengurang risiko jangkitan virus kepada kanak-kanak.

“Lagipun, pembelajaran dalam talian ada banyak alternatif, bukan sahaja depan gajet,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan pembelajaran dalam talian akan merisikokan perkembangan anak-anak dengan mengatakan mereka sudah lama terbiasa dengan gajet seperti apabila bermain permainan video dan menggunakan media sosial seperti Instagram dan Tik Tok.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun diberi melihat paparan skrin tidak melebihi satu jam sehari, dan tidak dibenarkan sama sekali pada usia di bawah dua tahun.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )