Pemilik kedai emas kejar, himpit kenderaan penyamun hingga terbalik
Pemilik kedai emas kejar, himpit kenderaan penyamun hingga terbalik

Pemilik kedai emas kejar, himpit kenderaan penyamun hingga terbalik

Port Dickson: Pemilik kedai emas nekad mengejar dan menghimpit kenderaan dinaiki kumpulan lelaki yang menyamunnya di sebuah stesen minyak di Lukut di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kumpulan lelaki berkenaan berjaya melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan dipandu rakan mereka dalam kejadian pada 10.15 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang berusia 50 tahun memandu Toyota Camry sebelum itu diserang dan dihalang lima lelaki bersenjatakan parang serta menaiki dua buah kenderaan di stesen minyak terbabit.

Menurutnya, suspek menggunakan dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Honda CRV untuk menghalang belakang dan depan kenderaan mangsa yang berhenti berhampiran pam petrol.

Katanya, suspek kemudiannya mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa terus mengejar kenderaan suspek dan dapat menghimpit Honda CRV hingga menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan serta terbabas sebelum terbalik di bahu jalan,” katanya.

Aidi Sham berkata, mangsa yang terlajak kemudiannya berpatah balik tetapi kumpulan suspek itu berjaya melarikan diri dengan kenderaan rakannya.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan dalam kejadian itu akibat terkena parang suspek.

 

Rakaman CCTV kejadian samun di sebuah stesen minyak dan (gambar kecil) kenderaan dinaiki suspek terbalik. Foto Mohd Khidir Zakaria
Rakaman CCTV kejadian samun di sebuah stesen minyak dan (gambar kecil) kenderaan dinaiki suspek terbalik. Foto Mohd Khidir Zakaria

 

“Polis memeriksa Honda CRV yang terbalik di hadapan kedai tepi jalan Lukut dan ditemukan semula dua beg berisi barang kemas yang cuba dilarikan suspek.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek juga ditemukan dua bilah parang dan satu set walkie talkie yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun mangsa,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan ke atas nombor casis kenderaan terbabit mendapatinya pernah dilaporkan hilang dan disamun pada 25 November lalu di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan dalam kejadian itu akibat terkena parang dan polis juga percaya suspek juga mengalami kecederaan namun berjaya meloloskan diri.

“Usaha mengesan mereka itu sedang giat dijalankan dan pihak polis meminta orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya tampil membantu.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline IPD Port Dickson, 06-6462999,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat.–HM

(Visited 13 times, 1 visits today)

COMMENTS