Penduduk Kuala Sanglang, Kedah mengeluh terjejas akibat TEMCO
Penduduk Kuala Sanglang, Kedah mengeluh terjejas akibat TEMCO

Penduduk Kuala Sanglang, Kedah mengeluh terjejas akibat TEMCO

Penduduk di Kuala Sanglang, Kedah yang rata-ratanya adalah nelayan dan peniaga merayu orang ramai tidak memulaukan mereka kerana kawasan Kuala Sanglang di sini tidak ada kena mengena dengan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di Sanglang, Perlis.

YB Dr. Salmee Said, ADUN Kota Siputeh

Menurut ADUN Kota Seputeh, YB Dr Salmee Said, kekeliruan itu timbul akibat salah faham masyarakat kerana nama tempat yang hampir serupa, namun Kuala Sanglang Kedah adalah disahkan bebas daripada kes Covid-19.

“Rata-rata peniaga terjejas teruk kerana orang ramai tak berani masuk ke kawasan sini. Peraih ikan pun tak datang menyebabkan nelayan tak dapat memasarkan hasil tangkapan mereka,”

Tambah beliau lagi, sidang media diadakan pada hari ini adalah untuk memperbetulkan stigma masyarakat bahawa Kuala Sanglang kawasan yang berbahaya. “Sekarang ni dah selamat, yang positif pun tak ada, yang kena kuarantin pun ramai dah habis, KKM dah buat saringan kepada kontak rapat dan Alhamdulillah, semuanya negatif.”

“Jadi, kawasan sini dah disahkan selamat, saya harap orang ramai dapat datang membeli hasil nelayan dan juga menjamu selera di restoran yang terkenal dengan hasil laut yang segar di sini,”

 

Rohaini Binti Don, peniaga kedai makan

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan,Rohaini binti Don, 48 yang lebih dikenali sebagai Kak Milah Seri Tanjung berkata, beliau mengalami kerugian keseluruhan hampir RM20,000 sepanjang penutupan operasi. Pekerja beliau seramai 7 orang juga hilang pendapatan akibat penutupan itu. “Saya cuba juga buka kedai masa awal-awal TEMCO dilaksanakan tempoh hari, malangnya langsung tak dapat sambutan, takdak orang yang mai,” ujar beliau lagi.

Wakil nelayan, Mohd Zohir Bin Romli berkata, masalah utama nelayan di kawasan berkenaan adalah berkaitan dengan aspek pemasaran ikan yang tidak dapat dijual kerana keengganan peraih dan pemborong untuk masuk ke kawasan berkenaan.”Mereka enggan masuk padahal kawasan ini tiada sebarang masalah, yang bermasalah ialah di Sanglang, Perlis, bukan Kuala Sanglang Kedah. Sebahagian peraih memang tak mau mai berbanding dulu, ramai sehingga tak cukup parking.”

Othman Shafie, wakil penduduk/nelayan

Seorang wakil penduduk, Othman Shafie menegaskan, mereka agak terkilan dengan sikap yang ditunjukkan oleh Persatuan Nelayan Kuala Kedah (PNKK) yang langsung tidak mengambil tahu permasalahan nelayan di situ. “kami disini adalah ahli persatuan nelayan sama ada PNKK atau PNPS (Persatuan Nelayan Perlis Selatan), malangnya kedua-dua agensi ini tidak turun bertanya khabar kami langsung.”

Tambah beliau lagi, banyak agensi lain turun membantu terutama dari Pusat Khidmat Rakyat dan ADUN Kota Seputeh, YB Dr Salmee sendiri yang banyak menghulurkan sumbangan buat nelayan di sini. Mereka juga berharap orang ramai dapat sama-sama membantu memulihkan semula ekonomi penduduk dengan datang membeli hasil nelayan dan juga menjamu selera di restoran di sekitar Kuala Sanglang ini demi untuk kelangsungan hidup peniaga dan nelayan disini.

(Visited 70 times, 1 visits today)

COMMENTS