Penduduk setempat bimbang andainya 'pisang berbuah dua kali'.
Penduduk setempat bimbang andainya ‘pisang berbuah dua kali’.

Penduduk setempat bimbang andainya ‘pisang berbuah dua kali’.

YAN: Setahun sudah berlalu, namun tragedi kepala air di Gunung Jerai yang meragut enam nyawa masih meninggalkan kesan kepada penduduk setempat yang bimbang andainya ‘pisang berbuah dua kali’.

Setiap kali hujan lebat melanda lebih dua jam, penduduk pantas menyiapkan barangan dan bersiap sedia untuk berpindah kerana bimbang tidak sempat menyelamatkan diri.

Antara kampung yang terkesan dalam tragedi itu termasuk Kampung Acheh, Kampung Setoi, Kampung Rendang Pasir, Kampung Pauh, Kampung Seri Perigi, Kampung Seberang Pekan Yan dan Kampung Batu Hampar.

Dalam kejadian jam 4 petang 18 Ogos tahun lalu, enam mangsa terkorban selepas dihanyutkan air deras akibat kepala air di Gunung Jerai dan Titi Hayun.

Mereka dikenali sebagai Ahmad Din, 64; Shahruzi Mohamad, 53; Zainol Morad, 66; Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28; Ku Shuib Ku Abdullah, 91, dan Ridwan Poniman, 61.

Seorang lagi mangsa, Abdullah Morad, 56, yang terselamat dalam kejadian itu, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada Februari lalu, enam bulan selepas tragedi berkenaan.

Penduduk, Mohd Azmir Md Salleh, 42, berkata kejadian itu menimbulkan kesan pada dirinya kerana terperangkap ketika air melimpah memasuki bengkel miliknya, manakala jambatan berhampiran masjid untuk menyeberang ke rumahnya di Kampung Rendang Pasir terputus.

Ketika itu, anggota keselamatan tidak membenarkan beliau pulang ke rumah kerana bimbang keadaan bertambah buruk.

“Waktu itu isteri saya berpantang di rumah mentua selepas bersalin anak kelima dan disebabkan tragedi itu, kami terpisah beberapa hari dan hanya mampu menghubungi keluarga melalui panggilan telefon.

“Ia tragedi paling buruk pernah saya alami namun bersyukur kerana terselamat tapi rasa takut tu ada lagi,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.

Beliau tidak sempat menyelamatkan kereta dan barangan dalam bengkel kerana air naik terlalu cepat, tetapi menyedari nyawa lebih penting untuk diutamakan.

Faizan Hamid, 61, yang juga dua sepupu kepada dua daripada mangsa terkorban iaitu Zainol dan Abdullah, masih sedih dengan kehilangan ahli keluarga.

“Saya masih trauma, malah kalau hujan berpanjangan dua tiga hari, cepat-cepat saya angkat barangan ke tempat lebih tinggi.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang menyalurkan bantuan kepada kami sejurus selepas kejadian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

(Visited 104 times, 1 visits today)

COMMENTS