Penempatan haram Bukit Malut membesar, MB pejam mata?

Penempatan haram Bukit Malut membesar, MB pejam mata?

Kawasan penempatan haram Bukit Malut di sini, semakin membesar apabila lebih banyak rumah dibina dan tapak baharu diteroka tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Jika sebelum ini, kebanyakan rumah penduduk dilihat dibina di kawasan rizab hutan paya bakau, tetapi kini mereka semakin berani apabila menarah kawasan lereng bukit sehingga menghampiri jalan utama.

Kegiatan meratakan hutan lereng bukit itu didakwa dilakukan pihak tertentu untuk menjualnya kepada warga asing yang berminat membina rumah baharu yang turut dilengkapi bekalan air dan elektrik.

Tinjauan mendapati penempatan yang terletak kurang 20 kilometer dari pekan Kuah itu, mendapati wujud pertambahan bilangan rumah yang dibina secara haram di tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) itu.

Dianggarkan ketika ini, ada kira-kira 1,000 rumah dibina di kawasan merangkumi hutan paya, pesisir laut dan lereng bukit dengan jumlah penduduk dikatakan sudah melebihi 10,000 orang ketika ini, berbanding hanya kira-kira 800 rumah tahun lalu.

Apa lebih mengejutkan apabila tinjauan turut mendapati terdapat dua bangunan komersial dipercayai rumah kedai tiga tingkat sedang dibina di jalan masuk utama ke Bukit Malut.

Berdasarkan kerja pembinaan yang giat dilakukan, berkemungkinan bangunan yang menempatkan empat hingga lima pintu rumah kedai itu dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pembinaan bangunan berkenaan dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa berikutan ketiadaan papan tanda tapak projek selain pekerjanya tidak mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.

Berita penuh: BERITA HARIAN

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )