Pengadil Liga Malaysia ada hak nak buat laporan polis

Pengadil Liga Malaysia ada hak nak buat laporan polis

Jangan pandang mudah tindakan menyentuh individu walaupun tidak mendatangkan kecederaan namun perbuatan itu boleh ‘berpanjangan’ dengan pengadil ada hak membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Itu antara pandangan Pengamal Undang-Undang Sukan Nik Erman Nik Roseli berkata, selain denda dan juga hukuman penggantungan perlawanan, laporan polis boleh dibuat oleh pengadil berkenaan jika mendapat diri mereka terancam.

Situasi terbabit berdasarkan aksi membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC bertemu Terengganu FC (TFC), pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin sekali lagi berdepan insiden keganasan selepas dia ditolak pemain KDA FC, Fadzrul Danel di hujung permainan.

Beliau yang pernah berada dalam komuniti disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, hukuman lebih berat boleh dikenakan terhadap pemain terbabit sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Pendapat saya adalah hukuman perlu lebih tinggi daripada dikenakan terhadap pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa sebagai memberi peringatan kepada pemain Liga Malaysia lain tidak mengulangi kesalahan sama.

“Jika pengadil mahu membuat laporan polis, sebenarnya tidak menjadi masalah dan terpulang kepada pihak berkuasa mahu meneruskan siasatan atau sebaliknya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, hukuman denda RM10,000 dan penggantungan dua perlawanan ke atas Natxo Insa nyata belum lagi menginsafkan Liga M selepas insiden menolak pengadil perlawanan sekali lagi berlaku.

Namun pada insiden kali ini, Noor Azriel melayangkan kad merah kepada pemain tengah itu sekali gus menyaksikan pemain itu akan berdepan penggantungan perlawanan selepas ini.

Berdasarkan semakan Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) edisi 2015, tindakan Fadzrul itu bukan setakat mengundang kad merah namun dia perlu bersedia untuk berdepan ‘hukuman tambahan’.

Artikel 51 iaitu salahlaku terhadap pegawai pertandingan menyatakan bukan sahaja penggantungan automatik menurut Artikel 18 para 4 tetapi penggantungan lain juga boleh dikenakan ke atas mana mana individu yang menerima kad merah secara terus.

Menerusi Artikel 51, antaranya adalah sekurang-kurangnya empat perlawanan bagi kelakuan yang tidak bersemangat sukan terhadap pegawai pertandingan (subjek kepada Art. 55, 56, 59, 60, 62 dan 63).

Selain itu, sekurang-kurangnya enam bulan bagi menyerang (menyiku, menumbuk, menendang dan lain lain) pegawai pertandingan serta denda juga boleh dikenakan bagi kesemua kes. Dalam masa sama, hak untuk menghukum pelanggaran adalah terpelihara menurut Art. 80 a).-HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )