Penyokong berang insiden bendera Perak ‘dipacak’ separuh tiang

Penyokong berang insiden bendera Perak ‘dipacak’ separuh tiang

Penyokong bola sepak Perak berang dengan insiden bendera negeri diturunkan separuh tiang ketika suasana kalut para pemain Perak FC memulaukan latihan malam semalam kerana isu gaji.

Tidak diketahui pihak yang melakukannya, namun, insiden itu dipercayai disebabkan tidak puas hati dan rasa kecewa terhadap pengurusan pasukan berhubung isu gaji pemain.

Penyokong menyifatkan ia sebagai tidak beradab kerana bendera separuh tiang melambangkan berkabung.

“Kepada si dia yang mungkin menurunkan bendera separuh tiang tadi. Admin nak ajor sikit adab pasal bendera. Kome mungkin kurang pelajaran walaupun gaji besor. Jangan dibuat main pasal bendera ni kerana setiap perbuatan mempunyai maksud. Bendera separuh tiang ni masa berkabung je,” demikian hantaran dalam sebuah Facebook penyokong Perak.

Satu lagi Facebook penyokong Perak memuatkan naik hantaran “Nak marah pengurusan marah le. Janganle sampai bendera kome turunkan separuh tiang.”

Difahamkan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu hari ini.

Semalam, pemain Perak FC memboikot latihan di Stadium Perak kerana isu gaji.

Latihan yang sepatutnya bermula pukul 10 malam sebaliknya bertukar menjadi sesi perbincangan antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Rizal Ali Naiz Ali dan difahamkan perbincangan akan disambung hari ini. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )