PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN: MARITIM MALAYSIA TINGKATKAN USAHA MENGEKANG JENAYAH RENTAS SEMPADAN.
PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN: MARITIM MALAYSIA TINGKATKAN USAHA  MENGEKANG JENAYAH RENTAS SEMPADAN.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN: MARITIM MALAYSIA TINGKATKAN USAHA MENGEKANG JENAYAH RENTAS SEMPADAN.

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menambah atur gerak aset-aset laut dan udara bagi meningkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh perairan negara.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Mairitim Zulinda Ramly berkata, peningkatan aset-aset ini bertujuan untuk menyekat perlakuan aktiviti jenayah rentas sempadan yang merangkumi aktiviti penyeludupan manusia, barangan terlarang, rompakan dan pencerobohan bot-bot nelayan asing khususnya di kawasan titik panas dalam Zon Maritim Malaysia di sepanjang Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

“Tindakan itu selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Maritim Malaysia 2004, Seksyen 7 (2) (i) iaitu menyingkir mana-mana vesel yang dipercayai boleh mengancam kepentingan atau membahayakan ketenteraman dan kesejahteraan dalam Zon Maritim Malaysia.

“Pada masa sama, aset-aset Maritim Malaysia juga mempergiatkan pemantauan PKP menerusi peruntukan Seksyen 3, Akta 342 – Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. Tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan aktiviti-aktiviti tidak dibenarkan kecuali aktiviti bagi perkhidmatan penting seperti nelayan-nelayan yang memiliki lesen menangkap ikan yang sah daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam menguatkuasakan PKP di perairan negara katanya, Maritim Malaysia telah mengambil peluang memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) operasi bersepadu dengan agensi-agensi lain khasnya menguji dan menilai keberkesanan SOP operasi bersama TLDM dan TUDM di perairan utara negara.

“Pemantauan berterusan dipertingkatkan secara bersepadu bagi memperketatkan kawalan perairan sempadan negara daripada dicerobohi oleh anasir-anasir asing.

“Penjenayah rentas sempadan, PATI mahu pun penyeludupan akan diburu hingga ke darat untuk didakwa di mahkamah,” ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 13 aset laut dan lima aset udara telah diatur gerak di sepanjang tempoh PKP bagi memantau dan mengawal di sepanjang kawasan perairan utara Selat Melaka melibatkan dua aset udara dan tiga kapal Maritim Malaysia.

“Manakala TLDM pula menempatkan dua aset udara serta tiga kapal dan TUDM pula mengatur gerak sebuah pesawat CN 235.

“Kesemua aset ini telah berada di kawasan titik panas dan pemantauan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuhkan kawalan sempadan perairan negara,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia berharap komuniti maritim dapat menyalurkan aduan sekiranya terdapat salah laku di laut.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307,” katanya.

(Visited 22 times, 1 visits today)

COMMENTS