Perjanjian bagi pembelian dos vaksin COVID-19 terbatal jika tiada kelulusan FDA dan NPRA
Perjanjian bagi pembelian dos vaksin COVID-19 terbatal jika tiada kelulusan FDA dan NPRA

Perjanjian bagi pembelian dos vaksin COVID-19 terbatal jika tiada kelulusan FDA dan NPRA

KUALA LUMPUR: Perjanjian bagi pembelian 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer Inc akan terbatal jika vaksin itu gagal didaftarkan dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter, hari ini.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Malaysia sudah memeterai dua perjanjian yang memberi jaminan untuk negara mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 30 peratus rakyat.

Ia termasuk perjanjian dengan Pfizer Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 24 November lalu membabitkan bekalan 12.8 juta dos vaksin untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat.

Perdana Menteri turut menegaskan, syarikat itu bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan FDA dan NPRA sebelum vaksin berkenaan boleh digunakan di Malaysia.

Sementara itu, menjawab soalan seorang pengikutnya mengenai sebab Malaysia lebih cenderung memilih vaksin daripada Pfizer yang dikatakan mempunyai mekanisme penyimpanan yang lebih rumit berbanding vaksin lain, Dr Noor Hisham berkata, negara bukan hanya mendapatkan bekalan vaksin daripada satu syarikat saja.

“Kita cuba mendapat bekalan vaksin daripada pelbagai sumber dan kerjasama. Bukan hanya satu syarikat,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, beliau mengadakan lawatan kerja ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Teratai, Klang pagi tadi.

Menerusi kiriman di Facebook, Dr Noor Hisham berkata, dalam lawatan itu beliau diberikan taklimat oleh Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed yang menerangkan mengenai pengurusan dan perkembangan terkini situasi COVID-19 di kawasan itu, selain berkesempatan melihat aktiviti saringan.

“Kawasan PKPD di Jalan Teratai ini terbahagi kepada dua iaitu Sektor A dan Sektor B yang mana setiap sektor menempatkan asrama lelaki dan wanita.

“Pengurusan Kesihatan diberikan anggota kesihatan dari PKD Klang dan Klinik Kesihatan Meru, anggota kesihatan bantuan dari daerah luar serta sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan calitan COVID-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan Home Surveillance Order (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data.

“Alhamdulillah, saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terbabit dan mendengar isu-isu yang berbangkit agar operasi PKPD ini berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua agensi terbabit dalam pengurusan PKPD ini.

“Terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, PDTK, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RELA, Pejabat Penerangan dan NGO yang turut serta dalam menjayakan aktiviti PKPD ini, ” katanya.

Yang turut hadir dalam lawatan kerja di PKPD itu adalah Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman; Panglima 11 Briged Jeneral Norsham Md Tap; Pengarah Keselamatan Negeri Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan.

Hadir sama Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh dan Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Pada pagi ini, saya berpeluang untuk mengadakan lawatan kerja di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan…

Posted by Noor Hisham Abdullah on Friday, 27 November 2020

(Visited 6 times, 1 visits today)

COMMENTS