PERMINTAAN BEKALAN IKAN MENINGKAT DI SEPANJANG PKP-AZMAN NASRUDIN.
PERMINTAAN BEKALAN IKAN MENINGKAT DI SEPANJANG PKP-AZMAN NASRUDIN.

PERMINTAAN BEKALAN IKAN MENINGKAT DI SEPANJANG PKP-AZMAN NASRUDIN.

SUNGAI PETANI – Permintaan terhadap bekalan ikan didapati meningkat di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mengelak daripada berlakunya lambakan terhadap hasil tangkapan nelayan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasrudin berkata, tinjauannya ke Pasar Bisik di Kuala Muda hari ini mendapati kalangan nelayan berpuas hati hasil tangkapan dan jualan yang berpatutan.

“Alhamdulillah, di Kuala Muda ini tidak berlaku lambakan kerana permintaan cukup tinggi bukan hanya di Kedah, malah ke seluruh negara termasuk Pasar Borong Selayang.

“Peningkatan permintaan itu mungkin disebabkan makin ramai yang memasak di rumah di sepanjang waktu PKP berbanding menikmati hidangan di kedai atau restoran ketika bekerja sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas selesai mengadakan tinjauan tersebut di sini, hari ini.

Menurutnya di pasar tersebut, sebarang urusan pembelian tidak lagi menggunakan kaedah berbisik seperti sebelum ini bagi memastikan berlaku penjarakkan sosial sebagai langkah berhati-hati dalam menangani COVID-19.

“Orang awam juga tidak dibenarkan membeli ikan di sini dengan hanya peraih berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang boleh berbuat demikian.

“Selain itu, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) turut menjadi antara pemborong utama ikan di sini. Langkah tersebut membolehkan kalangan mereka yang berurusan di sini mematuh penjarakkan sosial seperti dituntut di sepanjang PKP,” katanya.

Jelasnya, pada hari ini hampir 400 bot beroperasi dan kesemua mereka tidak menghadapi masalah untuk menjual hasil tangkapan masing-masing pada harga antara RM2.50 hingga RM3 sekilogram.

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS