Pernah terima tawaran ‘Sugar baby RM20,000’, tolak kerana tidak berbaloi

Pernah terima tawaran ‘Sugar baby RM20,000’, tolak kerana tidak berbaloi

Andai imam senipis kulit bawang sudah pasti bakat baharu, Shaza Bae, 26, hanyut dibawa arus godaan yang menjanjikan kehidupan mewah dengan cara menggadai maruah diri.

Namun, amanat keluarga sentiasa tersemat dalam hati dan menjadi perisai buat gadis berwajah manis ini menolak tawaran menjadi ‘sugar baby’ lelaki berhidung belang.

Sungguhpun pada awal kemunculan agak sukar mendapat tawaran lakonan berikutan pandemik COVID-19, sekali gus menyebabkan punca pendapatan terjejas, namun ia bukanlah alasan untuk Shaza mencari kesenangan hidup dengan cara mudah walaupun tawaran terbentang di depan mata.

Berkongsi pengalaman menakutkan, Shaza atau nama sebenarnya, Shaza Nuriman Mohamad Zamri mendedahkan, dia pernah menerima mesej peribadi dalam laman sosial yang menawarkan ganjaran lumayan untuk dijadikan teman atas ranjang.

“Bohonglah, jika saya kata tidak pernah menerima terima tawaran nakal. Saya sangat terkejut apabila ada lelaki yang sanggup membayar sebanyak RM20,000 menjadi pemuas nafsu untuk semalaman. Sepanjang hidup, belum pernah saya menerima mesej sedemikian, ia sudah tentu pengalaman menakutkan.

“Enggan terjebak, saya segera bertindak menyekat beberapa individu sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Saya juga tidak kuasa melayan manusia bernafsu serakah. Walaupun pernah susah kerana tiada tawaran berlakon, namun ia bukan alasan untuk saya mencari kesenangan dengan cara kotor.

“Pesanan keluarga sentiasa dalam ingatan terutama ibu yang agak keberatan mengizinkan saya menceburkan diri dalam bidang seni sejak awal lagi. Ibu bimbang cabaran yang bakal dilalui. Saya perlu meyakinkan ibu, saya mampu menjaga harga diri,” katanya kepada BH Online.

Secara berseloroh, Shaza menyatakan ganjaran sebanyak RM20,000 tidak berbaloi untuknya sekiranya berhasrat menerima tawaran tidak senonoh.

“Hello, nilai saya lebih tinggi daripada ganjaran RM20,000 yang ditawarkan,” tuntas juara Dewi Remaja 2019/2020 ini sambil tertawa.

Godaan nampaknya tidak berakhir di situ, Shaza juga pernah menerima mesej rakan artis yang cuba mendekatinya.

“Biasalah, ada juga dalam kalangan artis lelaki menghantar mesej. Selalunya mesej dihantar berbentuk pujian fizikal. Tetapi, saya tak rasa apapun. Saya yakin, bukan saya seorang sahaja wanita yang artis lelaki itu mesej. Mungkin berpuluh-puluh lagi.

“Lagipun, wanita zaman sekarang sudah masak dengan perangai lelaki seperti itu. Jadi, saya tidak ambil kisah. Saya balas macam mesej biasa tanpa menaruh harapan.

“Buat masa ini, saya tidak terfikir langsung mengenai jodoh kerana mahu lebih fokus pada kerjaya lakonan yang baru bermula,” jelas graduan dalam bidang seni dari Universiti Malaya itu.

Walaupun kerap berdepan godaan dalam laman sosial, Shaza bersyukur, tidak ramai pengikutnya bersikap nakal seperti itu. Berdasarkan pengamatannya, kebanyakan meminatinya terdiri daripada golongan wanita berusia dan kanak-kanak.

“Bukan semua lelaki berperangai tidak senonoh, adalah seorang dua. Selebihnya adalah kategori makcik dan kanak-kanak yang suka dengan karakter wanita kepoh yang pernah saya bawakan dalam drama Perempuan Tanpa Dosa.

“Rasa seronok melayan keletah mereka. Mesej negatif, saya abaikan sahaja,” ujarnya

Menyorot perkembangan kerjaya lakonannya, Shaza berkata, dia kini boleh menarik nafas lega apabila bakatnya mula diberi perhatian.

“Saya akan memulakan penggambaran dengan memegang watak utama bersama Yusuf Bahrin. Ramai yang suka dengan gandingan kami dalam drama sebelum ini. Malah, kebanyakan masih belum mampu ‘move on’ dengan lakonan kami.

“Disebabkan terlalu obses dengan keserasian kami, ada yang bertanyakan apakah benar saya dan Yusuf menjalinkan hubungan cinta di luar skrin. Pertanyaan ini juga mengejutkan. Saya hanya dengar cerita peminat suka melihat pelakon kesayangan bercinta di alam realiti selama ini, tetapi kini saya pula yang melaluinya,” cerita Shaza yang juga seorang pengacara.

Diusik dengan pertanyaan apakah ada kemungkinan untuknya jatuh cinta dengan aktor kacak itu, Shaza berkata, dia sudah menganggap Yusuf seperti abangnya sendiri.

“Sebagai bahan gurauan dengan peminat bolehlah, tetapi untuk saya bercinta dengannya mungkin sukar sebab hubungan kami seperti abang dengan adik. Awal lagi saya sudah meletakkan zon persahabatan dengan memanggilnya ‘bro’.

“Tetapi, saya tak dinafikan selesa dengannya. Jadi, kami nampak serasi dan bersahaja di hadapan kamera. Saya melihat Yusuf lelaki yang baik. Jika sampai lokasi semua orang ditegurnya. Hubungan kami hanya sebagai kawan, tidak lebih pada dari itu,” ujar gadis tinggi lampai ini.

Nama Shaza semakin meniti di bibir peminat apabila watak Rosa, gadis gedik yang dilakonkannya dalam drama Marry Me Senorita mengundang kebencian ramai.

Kali pertama membawakan watak antagonis, Shaza berkata, dia terkejut dengan komen negatif yang dilemparkan penonton terhadapnya.

“Saya sangat teruja apabila ditawarkan watak Rossa. Inilah kali pertama saya membawakan watak jahat. Sebelum ini,

karakter saya biasa sahaja dalam drama Perempuan Tanpa Dosa. Tidak dinafikan, timbul perasaan gementar kerana selain jahat dan psiko, saya juga perlu beraksi gedik.

“Apabila pegang watak antagonis pasti mengundang kebencian ramai. Kini, saya melaluinya dimarahi penonton. Sebagai pelakon, saya selalu tanamkan dalam diri jika dikecam bermakna lakonan berkesan di hati penonton.

“Saya kena terima hakikat dan saya harap penonton juga boleh menerima lakonan saya,” katanya yang pernah muncul dalam drama Tundukkan Playboy Itu dan Isteri Untuk Disewa.

Mengulas cabaran membawakan watak Rosa, Shaza berkata, dia perlu membuat perubahan dari segi fizikal yang agak menyiksakan.

“Watak Rosa memerlukan saya mengenakan solekan tebal dan memakai kanta lekap. Disebabkan kerap bertukar, mata menjadi merah dan sakit.

“Tetapi, demi menghidupkan watak Rosa dan tidak mahu dibayangi watak yang dilakonkan, saya sanggup tahan sakit,” katanya yang menjadikan karakter Linda Martopo lakonan Liza Hanim dalam filem KL Menjeit sebagai sumber rujukan.

Katanya, cabaran lain yang perlu dilalui apabila perlu menyentuh pelakon, Dini Schatzmann yang juga kekasih Janna Nick.

“Sudahlah gementar berlakon dengan Janna yang kita ketahui seorang pelakon hebat, kena pula bersentuhan dengan kekasihnya. Disebabkan terlalu bimbang, saya minta izin Janna.

“Janna sangat memahami, malah dia banyak membantu saya di lokasi penggambaran. Janna tidak kedekut ilmu dan saya saya bersyukur dapat berpeluang bergandingan bersama pelakon hebat,” puji anak jati Kuala Lumpur itu.

Membintangi dua drama hasil sentuhan pengarah sensasi, Michael Ang, Shaza tidak kisah dikatakan ‘anak emas’ kepada sutradara terkenal itu. Drama Marry Me Senorita ditayangkan sejak 2 Februari lalu dan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot MegaDrama, Astro.

Berita :  BHarian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )