Pesawah gesa MADA supaya percepat projek jalan ladang
Pesawah gesa MADA supaya percepat projek jalan ladang

Pesawah gesa MADA supaya percepat projek jalan ladang

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier di Blok Pengairan CCD1a, Wilayah 4 MADA di Kampung Benua dan Kampung Kebun Pinang di sini diselesaikan segera demi kemudahan pesawah.

MADA menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, blok pengairan CCD1a itu melibatkan Kampung Kebun Pinang, Kampung Benua, Kampung Simpang Empat, Kampung Tanah 100, Kampung Kuar dan Kampung Teluk Bagan dengan jumlah peladang seramai 467 orang.

Katanya, sebelum ini MADA bersama penguasa projek telah tiga kali menyerahkan surat peringatan berdaftar kepada kontraktor di atas kegagalan membekalkan item-item permulaan dan am.

“Antara langkah segera yang perlu diambil bagi mengatasi masalah itu adalah melaksanakan kerja timbunan tanah secara serentak di setiap jajaran ladang, tali air dan parit,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut kenyataan terbabit, kerja-kerja lain turut melibatkan penyediaan lintasan sementara atau kekal di lokasi yang telah dikorek serta melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit yang telah siap dikorek.

“Selain itu, kerja-kerja pembinaan struktur diminta supaya dilaksanakan secepat mungkin. Kawasan status quo pengairan dan saliran semasa pembinaan projek juga perlu dilaksanakan,” katanya.

Kenyataan itu menambah, masalah pesawah tersebut turut dibangkitkan kepada pegawai penguasa projek agar pihak kontraktor dapat mengoptimumkan kerja-kerja pembinaan.

“Semua itu bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh masa, kos dan kualiti ditetapkan agar segala masalah berbangkit, dapat diselesaikan segera.

“Dalam masa sama, pihak MADA akan memastikan aktiviti di peringkat ladang dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan gangguan paling minima,” katanya.

Kenyataan terbabit turut mengingatkan pesawah di kawasan Muda untuk menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mahu pun aduan hendak disampaikan.

“MADA bersedia membantu para peladang menjayakan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 300 pesawah di Kampung Benua dan Kampung Kebun Pinang di sini menggesa pembinaan jalan ladang dipercepatkan untuk membolehkan kerja-kerja menuai di 287 hektar sawah berjalan lancar.

(Visited 25 times, 1 visits today)

COMMENTS