Petugas kesihatan dihantar secara berperingkat ke Sabah – KKM

Petugas kesihatan dihantar secara berperingkat ke Sabah – KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar petugas kesihatan dari Semenanjung ke Sabah secara berperingkat berdasarkan keperluan dan kepakaran yang diperlukan di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata beliau sudah mendapat pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri sejak Ogos lalu dan pergerakan petugas kesihatan secara dalaman sudah dimulakan ketika itu.

“Saya berada di Sabah pada 29 Ogos lalu dan sudah berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi mengenai keperluan untuk menggerakkan petugas dari Semenanjung.

“Ketika itu saya dimaklumkan mereka sudah menggerakkan petugas untuk ke empat daerah seperti di Lahad Datu, Semporna dan Tawau secara dalaman.

“Apa yang penting sekarang ini, kita lihat bantuan bantuan dari Semenanjung secara berperingkat mengikut keperluan dan kepakaran masing-masing. Jadi kita akan sentiasa lihat dan bantu Sabah,” katanya dalam sidang akhbar harian, hari ini.

Beliau berkata, minggu hadapan seramai 99 orang membabitkan 36 petugas kesihatan awam dan 63 petugas kesihatan perubatan akan dihantar ke negeri ini.

Katanya, antara perkara utama yang akan diberi perhatian untuk Sabah adalah berkaitan fasiliti penempatan pesakit COVID-19 termasuk mengoptimumkan penggunaan katil bagi pesakit tahap satu dan dua.

“Jika pesakit tahap tiga tiada risiko, tidak berusia lanjut, mereka boleh ditempatkan di pusat kuarantin berisiko rendah. Jika mereka ini dikenal pasti, sebanyak 80 peratus boleh ditempatkan di 21 pusat kesihatan.

Hospital boleh menumpukan kepada pesakit tahap tiga dan empat yang mempunyai masalah pernafasan.

“Kita juga sedang melihat bagaimana mengubah ruang hospital menjadi unit rawatan rapi (ICU) untuk ditambah katil,” katanya.

Katanya, Hospital Medan di Tawau Sabah akan berfungsi sepenuhnya pada 20 Oktober ini untuk menempatkan pesakit bukan COVID-19 dan membolehkan Hospital Tawau menumpukan kepada pesakit wabak itu.

KKM juga menerima sebanyak 4,794 permohonan daripada pelbagai pihak khususnya pengamal dan pakar perubatan untuk menyatakan hasrat menjadi sukarelawan dalam melawan pandemik COVID-19 di negara ini.

“KKM mempunyai kriteria tertentu berdasarkan amalan dan pengalaman mereka. Malah kita juga perlu melihat tahap kesihatan mereka dan kita akan jalankan saringan untuk menghantar mereka.

KKM juga perlu melihat kegunaan mereka pada masa hadapan, bukan sahaja untuk tempoh jangka masa pendek, tetapi pertengahan dan panjang nanti. Yang penting adalah sentiasa untuk melihat keadaan semasa,” katanya.

Berita penuh : BeritaHarian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )