PH bantah usul Muhyiddin singkir speaker, timbalan speaker.
PH bantah usul Muhyiddin singkir speaker, timbalan speaker.

PH bantah usul Muhyiddin singkir speaker, timbalan speaker.

Pakatan Harapan (PH) membantah usul yang difailkan perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan speaker Dewan Rakyat dan timbalannya.

Dalam satu kenyataan, Majlis Setiausaha PH berkata bekas hakim Mohamad Ariff Md Yusof telah berkhidmat sebagai yang di-pertua Dewan Rakyat dengan adil dan memainkan “peranan yang amat mustahak dalam merakyatkan parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di Malaysia.”

“Dari pembentukan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baru, mewujudkan Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Group) yang merapatkan hubungan di antara ahli-ahli parlimen dan masyarakat sivil, serta pelbagai penambahbaikan perjalanan sidang parlimen yang lain, yang di-pertua telah membuktikan bahawa usaha reformasi institusi yang bermula pasca PRU-14 telah mula membuahkan hasil dan wajib diteruskan,” katanya.

PH juga hari ini berkata Ariff telah bersara daripada parti politik selepas dilantik ke jawatan itu pada 2018.

“Oleh yang demikian, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan dengan ini menyatakan sokongan penuh ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan kepada yang di-pertua (Ariff) dan timbalan yang di-pertua (Ngar Kor Ming).

“Kami turut membantah sebarang usaha untuk menukar mereka berdua, lebih-lebih lagi kerana mereka telah dan diyakini akan terus berkhidmat dengan adil dan saksama, dan tidak wujud sebarang keperluan sama sekali untuk menukar pemegang dua jawatan ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke dan Setiausaha Agung Amanah Dr Hatta Ramli.

Bulan lalu, Muhyiddin telah mengemukakan usul untuk menggantikan Ariff dan Nga. Usul tersebut akan dibentangkan semasa persidangan parlimen bermula 13 Julai ini.

Ariff berkata pejabatnya telah menerima kedua-dua usul untuk dibahaskan.

Ariff telah meletak jawatan sebagai ketua jawatankuasa disiplin dan anggota jawatankuasa penasihat pakar Amanah sebelum dicadangkan sebagai speaker, manakala Nga, yang juga ahli parlimen Teluk Intan, masih bersama DAP.

Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon, yang juga ahli parlimen Batu Pahat yang berpihak menyokong kerajaan Perikatan Nasional, tidak terjejas jawatannya.

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS