Piala AFC: Sang Kenari sedia melakar sejarah
Piala AFC: Sang Kenari sedia melakar sejarah

Piala AFC: Sang Kenari sedia melakar sejarah

SKUAD Kedah Darul Aman (KDA FC) bertekad untuk menamatkan saingan separuh akhir Piala AFC zon ASEAN dalam tempoh 90 minit menjelang pertemuan dengan wakil Indonesia, PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali malam ini.

Ketua jurulatih skuad Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak percaya barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya dalam usaha melakar sejarah mara ke peringkat akhir zon ASEAN tetapi dalam masa yang sama enggan memandang ‘enteng’ cabaran pasukan lawan.

“Sejak tiba di sini pada Jumaat lepas, tahap persiapan serta persediaan pasukan berlangsung dengan cukup memuaskan dan semua pemain sudah fokus untuk memberikan seratus peratus di atas padang.

“Secara jujur, saya harap pasukan dapat menghabiskan perlawanan ini dalam tempoh 90 minit memandangkan ini adalah saingan kalah mati dan tiada timbal balik.

“Apa yang pasti, saya anggap peluang kedua-dua pasukan kekal seimbang kerana siapa yang dapat memanfaatkan pe­luang terhidang sebaiknya, mereka boleh ke pentas final,” katanya pada sidang media semalam.

Mengulas mengenai pasukan lawan, pengendali import dari Singapura itu mengakui sudah melakukan analisis mengenai kekuatan dan kelemahan kelab berpangkalan di Kalimantan itu untuk digunakan.

Sementara itu, pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares mengharapkan sokongan padu daripada ribuan penyokong tempatan untuk ‘menggentarkan’ pasukan lawan, sekali gus memberikan kelebihan buat anak-anak buahnya.

“Kami menjangkakan perlawanan sengit yang bakal diberikan oleh Kedah nanti tetapi kesempatan selaku tuan rumah harus digunakan sebaiknya.

“Selain itu, kami juga mengharapkan penyokong membanjiri stadium kerana kami bukan sahaja mewakili Makassar, sebaliknya menjadi wakil tunggal Indonesia di pentas Asia tahun ini,” kata Tavares.

(Visited 56 times, 1 visits today)

COMMENTS