Pimpinan AMANAH Kedah terus menabur bakti

Pimpinan AMANAH Kedah terus menabur bakti

Disebalik perebutan jawatan perdana menteri, jatuh menjatuh dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain di antara pimpinan Parti Peribumi Bersatu Malaysia dan Umno, para pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kedah terus menabur bakti kepada masyarakat.

Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Kedah yang juga ADUN Pengkalan Kundor, Dato’ Dr. Ismail Salleh terus menyumbang tenaga sebagai sukarelawan (perubatan) di Pusat Pemberian Vaksin. Terbaru, menerusi hantaran di facebook, beliau bertugas di PPV Dewan Tunku Putra Kuala Nerang.

Dato’ Dr Ismail Salleh bersama pasukannya di PPV Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang

“Hari ini berjaya memberi suntikan kepada hampir 700 orang penerima, sebahagian besarnya adalah penerima dos kedua” ujar beliau sambil memaklumkan pasukannya turut menerima lawatan daripada Pegawai Daerah Padang Terap, Dato’ Md Shuhaimi bin Abd Rahman.

Daerah Padang Terap masih mengekalkan zon kuning, oren dan beberapa mukim berada di zon hijau. Daerah ini juga diantara daerah tertinggi yang penduduknya sudah menerima vaksin.

Sementara itu, di Yan, bilik gerakan banjir telah dibuka di Pejabat AMANAH Kawasan Jerai, Guar Chempedak. Biarpun dengan keterbatasan dana, AMANAH masih mampu menghulurkan bantuan kepada penduduk tempatan dengan sokongan dan sumbangan pimpinan dan ahli parti itu.

Dato Hj Phahrolrazi Zawawi, Pengerusi Amanah Negeri Kedah diiringi Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Sdr Ridzwan Arshad Ahmad meninjau lokasi kejadian

Semalam, Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Dato Hj Phahrolrazi Zawawi bersama Pemuda AMANAH Negeri itu turun menyantuni penduduk yang terjejas. Sukarelawan parti yang diwakili NGO ARiF dari seluruh negara masih lagi menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah penduduk, sekolah dan rumah ibadat secara bergotong royong, bersilih ganti sehingga ke hari ini.

Sukarelawan ARiF membantu penduduk kampung mencuci kawasan yang terjejas akibat banjir lumpur

Amanah Kawasan Merbok dan Sungai Petani juga telah membuka ‘Dapur Peduli’ – satu inisiatif menyediakan makanan siap masak untuk diagihkan kepada penduduk. Banjir lumpur telah menyebabkan kehidupan harian terjejas termasuk barang kelengkapan rumah juga rosak menyebabkan ada penduduk yang tidak dapat memasak untuk mengalas perut.

Ketua Amanah Sungai Petani, Ustaz Rosli Yusof menyampaikan sumbangan kepada Dapur Peduli kendalian Muhammad Najmuin, Pengarah ARiF Kedah

Hari ini, Dapur Peduli turut menerima sumbangan daripada Naib Presiden Amanah Nasional, yang juga ahli parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar yang turun sendiri meninjau kerosakan yang dialami akibat ‘tragedi kepala’ air itu.

Dato’ Mahfuz Omar turut bersama sukarelawan ARiF membantu mencuci rumah penduduk kampung

Selain itu, turut kelihatan di lokasi musibah hari ini ialah Setiausaha Amanah Negeri Kedah yang juga ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang memandu sendiri pacuan empat rodanya untuk membawa barangan makanan kepada penduduk terjejas. Asmirul turut menyumbang kepada ‘Dapur Peduli’ yang dikendalikan oleh Pengarah Arif Negeri Kedah, Muhammad Najmuin Abdullah.

Asmirul meninjau kerosakan yang disebabkan oleh tragedi kepala air itu

Dengan segala kekangan dan kekurangan selaku parti pembangkang, pimpinan AMANAH Negeri Kedah sedaya upaya terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat lebih-lebih lagi dikala pandemik dan musibah melanda. Semoga usaha ini dapat memperkenalkan parti yang dikira masih baru ini kepada masyarakat dan seterusnya memenangi hati rakyat negeri ini.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )