PKP penuh mungkin sambung 14 hari lagi, Adham Baba

PKP penuh mungkin sambung 14 hari lagi, Adham Baba

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberikan bayangan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh akan dilanjutkan selepas fasa pertama tamat 14 Jun ini.

Adham berkata, kerajaan perlu meneruskan pelaksanaan PKP penuh berikutan kadar kes harian Covid-19 di Malaysia masih tinggi melebihi nilai ambang disasarkan, iaitu 4,000 kes sehari, sebelum ini.

Katanya, pelaksanaan PKP penuh mulai 1 Jun lalu mula mendatangkan hasil apabila dua indikator penting, iaitu kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) turun kepada 0.96Rt dan kes harian purata di bawah 7,000 kes sehari.

“Namun selepas lapan hari pelaksanaan PKP penuh, kes masih melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871, melebihi nilai ambang yang disasarkan iaitu purata 4,000 kes ke bawah dalam tempoh tujuh hari.

“Sehingga kini, kita merekodkan penurunan kes harian yang meyakinkan, maka KKM berpandangan kerajaan patut meneruskan kaedah pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Iminusasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaludin secara maya hari ini.

Adham berkata, masyarakat dinasihatkan untuk terus mengikuti pendekatan kesihatan awam seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Dalam pada itu Adham berkata, kementeriannya akan menggerakkan doktor pelatih di hospital awam ke pusat vaksin sebagai penyuntik vaksin bagi membantu negara mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.

Katanya, pelatih yang sudah mencapai tahap penempatan juga akan ditugaskan untuk mengurus kes Covid-19 di pusat pemantauan.

“Kita juga akan memanggil mereka (kakitangan perubatan) yang sudah pencen atau menamatkan perkhidmatan awal untuk memberi tumpuan bagi membantu negara bagi program vaksinasi.

“Begitu juga dengan mereka yang sudah bergraduasi dari sekolah perubatan membabitkan doktor, doktor gigi, jururawat dan pembantu perubatan akan diberikan latihan serta lesen amalan untuk mengendalikan pusat vaksinasi,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )