PKPB di Kedah sedikit berbeza - 'DINE IN' tidak dibenarkan, taman awam dan rekreasi masih DITUTUP- Mukhriz Mahathir.
PKPB di Kedah sedikit berbeza – ‘DINE IN’ tidak dibenarkan, taman awam dan rekreasi masih DITUTUP- Mukhriz Mahathir.

PKPB di Kedah sedikit berbeza – ‘DINE IN’ tidak dibenarkan, taman awam dan rekreasi masih DITUTUP- Mukhriz Mahathir.

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah mengambil pendekatan sedikit berbeza terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terjamin selain memastikan negeri ini terus kekal sebagai zon hijau dari penularan COVID-19.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, antara pindaan dilaksanakan adalah tidak memberi kebenaran kepada mana-mana kedai makan atau restoran untuk melaksanakan perkhidmatan ‘dine in’.

“Tiada masalah untuk restoran atau kedai-kedai makan dibuka namun kita tidak membenarkan pelanggan menikmati hidangan di premis tersebut. Perkhidmatan dibenarkan cuma secara bungkus, penghantaran atau pandul lalu saja seperti sebelum ini.

“Selebihnya para peniaga perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Persekutuan. Waktu Operasi pula masih tertakluk antara 8 pagi hingga 8 malam untuk restoran milik bukan Muslim dan 3 petang hingga 8 malam untuk pemilik restoran atau kedai makan muslim di sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) COVID-19 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini kerajaan negeri mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan PKPB di Kedah bagi memperhalusi beberapa perkara berkaitan sebelum dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, hari ini.

Bagi sektor perkilangan katanya, semua kilang dibenarkan beroperasi dengan mereka perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan tetapkan ada langkah yang perlu diambil sebelum mereka dibenarkan beroperasi antaranya penyediaan penutup hidung dan mulut serta pensanitasi tangan, selain melakukan sanitasi di kilang.

“Kalau kita terima sebarang aduan dari pekerja berkenaan pekara itu, maka tindakan boleh diambil. Jika kilang kecil, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan manakala untuk kilang-kilang besar yang terletak di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), maka pihak kementerian akan bertindak,” ujarnya.

Tambahnya sektor peruncitan dan pemborongan turut boleh beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Pasaraya termasuk juga Pekan Rabu turut dibenarkan beroperasi semula asalkan memenuhi syarat ditetapkan. Namun kita mengharapkan para peniaga melakukan pemantauan manakala pelanggan mengambil langkah sepatutnya seperti mengenakan penutup hidung dan mulut serta sentiasa menjaga penjarakan sosial,” katanya.

Beliau menambah taman-taman awam dan rekreasi bagaimanapun masih kekal ditutup buat masa ini.

“Hendak beriadah dalam kawasan taman perumahan sendiri, itu dibenarkan. Begitu juga dengan aktiviti sukan individu yang tidak melibatkan sentuhan.

“Tetapi jangan pula anjur sukan melibatkan ramai orang seperti sebelum ini. Berzumba di taman awam contohnya tidak dibenarkan dengan setiap orang perlu mematuhi SOP dikeluarkan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, kerajaan negeri tidak pernah sama sekali menyatakan penolakan terhadap PKPB seperti mana diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

“Yang disebut adalah kita nak perhalusi perkara itu kerana terdapat beberapa komen dari PBT (Antaranya hal berkaitan kebenaran makan di restoran). Jadi kita minta tangguhkan pelaksanaan PKPB hingga ke mesyuarat hari ini.

“Kini perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat tadi dan PKPB boleh berjalan di Kedah. Keputusan itu tidak langsung bertentangan dengan kerajaan Persekutuan malah SOP dikeluarkan Kerajaan Persekutuan jelas menyatakan terdapat kuasa di bawah PBT yang boleh buat pengecualian terhadap beberapa perkara,” ujarnya.

(Visited 54 times, 1 visits today)

COMMENTS