PKPB : Kedah, Terengganu, Johor ditamat jika keadaan makin baik – Noor Hisham

PKPB : Kedah, Terengganu, Johor ditamat jika keadaan makin baik – Noor Hisham

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia menamatkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB)s di Kedah, Johor dan Terengganu dan meletakkannya di bawah perintah kawalan pergerkan pemulihan (PKPP) sekiranya perkembangan baik berlaku di negeri terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri terbabit kini menunjukkan kesan positif pengurangan kes jangkitan Covid-19 sejak PKPB dilaksanakan.

“Ada 3 negeri (di Semenanjung) di bawah PKPP, iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.

“Kita boleh lihat di beberapa negeri lain, contohnya Kedah, sekarang sudah kurang zon merah.


“Begitu juga selepas 20 Nov ini, kita akan lihat kembali perkembangan di Dungun, Terengganu dan Johor. Kalau baik, kita pertimbang untuk kembalikan PKPP,” katanya pada sidang media di sini, hari ini,

Bagaimanapun katanya, kementerian akan terus melihat langkah yang boleh melindungi negeri zon hijau daripada jangkitan baru wabak itu.

“Kalau 4 hari lagi perkembangan makin baik, negeri PKPP menjadi 6.

“Kita melindungi 6 negeri ini dengan aktiviti kesihatan awam yang dikenal pasti,” katanya.

Setakat ini, hanya Pahang, Kelantan dan Perlis dikategorikan sebagai negeri zon hijau dan diletakkan di bawah PKPP di Semenanjung, selain Sarawak di Malaysia Timur.

Dalam perkembangan lain Noor Hisham berkata individu yang mahu bergerak dari zon merah ke zon hijau berkemungkinan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 pada masa hadapan.

Katanya, ketika ini KKM sedang menimbangkan cadangan berkenaan, sebagai langkah untuk melindungi daerah atau negeri zon hijau daripada jangkitan.

“Kita kena lihat bagaimana untuk melindungi negeri zon hijau. Kita juga kena lihat bagaimana untuk menjalankan saringan terhadap mereka dari zon merah yang pergi ke zon hijau.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham menyarankan supaya majikan, terutama melibatkan tapak binaan, menjalankan saringan berkala ke atas pekerja mereka.

Beliau berkata, saringan secara berkala lebih berkesan dari segi kos kerana jangkitan dapat dikesan lebih awal sebelum ia menular dalam masyarakat.

“Kita ingin mengesyorkan kepada majikan supaya menjalankan ujian secara berkala. Ini boleh membantu mengesan kes positif Covid-19,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )