PN hanya ada 111 sokongan - Anwar
PN hanya ada 111 sokongan – Anwar

PN hanya ada 111 sokongan – Anwar

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat bertahan lama selepas hampir gagal meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

“Adakah kerajaan ini boleh bertahan hanya dengan 111 sokongan ahli Parlimen atau akan ada lagi episod sogokan dengan segala ugutan dan tawaran pangkat atau jawatan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata demikian mengulas RUU berkenaan yang diluluskan dengan 111 anggota parlimen menyokong, manakala 106 lagi menentang. Lima lagi anggota parlimen tidak hadir.

Mereka yang tidak hadir ialah Maximus Ongkili (PBS – Kota Marudu), Tengku Razaleigh Hamzah (Umno – Gua Musang), Wilfred Madius Tangau (Upko – Tuaran), Shafie Apdal (Warisan – Semporna) dan Christina Liew (PH – Tawau)

Terdapat 222 anggota parlimen dan undian menunjukkan separuh daripada mereka mengundi untuk menyokong RUU tersebut.

RUU itu dibentangkan bertujuan memohon peruntukan tambahan untuk perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7.18 bilion, berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan kementerian baru dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baru pada Mac lalu.

Sementara itu, Anwar berkata PH berpuas hati dengan alasan diberikan tiga anggota Parlimen yang tidak hadir semasa proses undian hari ini atas urusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung kelak.

Tambah Anwar, PH tidak akan berundur dalam perjuangan sebaliknya akan terus mempertahankan mandat rakyat dengan semangat, kekuatan dan setiakawan baru.

“PH juga bertekad untuk terus berusaha menjadi suara rakyat di Parlimen, sambil meneruskan ikhtiar mengembalikan mandat rakyat” katanya.

 

Berita Penuh : MALAYSIAKINI

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS