Polis bongkar stor proses ketum di Alor Setar

ALOR SETAR: Kegiatan seorang pengedar ketum yang berselindung di sebalik perniagaan kedai makan di Kampung Seberang Alor, Tebengau di sini, terbongkar apabila premis itu diserbu polis, semalam.

Dalam pemeriksaan pada jam 5 petang itu, polis mengesan stor bersebelahan kedai yang dijadikan tempat memproses dan menyimpan daun ketum.

Lebih mengejutkan, premis terbabit turut dilengkapi empat kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang sekeliling kedai dan stor bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 44 tahun yang juga pesawah itu berjaya dikesan selepas diserbu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Setar.

Suspek dipercayai, menjadikan kedai makannya yang dibuka mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah malam sebagai lokasi tumpuan penagih ketum.

Ketika serbuan dilakukan, lelaki itu dikatakan baru selesai membungkus daun ketum untuk dijual di kedai makannya, manakala sebahagian lagi untuk pasaran di sekitar kawasan berhampiran.

Hasil pemeriksaan menemui beberapa tong yang mengandungi lebih 1,000 bungkusan air ketum selain tempat rebusan air ketum serta daun yang sudah digunakan untuk rebusan.

Dipercayai, suspek mampu memperoleh keuntungan mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sehari, hasil menjual air ketum sahaja.

Daun ketum itu dibeli melalui penduduk kampung yang menanam pokok berkenaan pada harga RM12 sekilo dan menjual air ketum pada harga antara RM2 hingga RM5 sebungkus.

Selain itu, pemeriksaan di stor belakang juga menemui timbunan daun ketum segar belum diproses yang dipercayai baru dikutip.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan, penahanan suspek yang ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Air ketum yang siap dibungkus itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita penuh: Berita Harian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )