Polis Kedah nafi 2 individu gelang ‘pink’ berkeliaran di Kampung Berjaya

Polis Kedah nafi 2 individu gelang ‘pink’ berkeliaran di Kampung Berjaya

Polis menafikan gambar tular di media sosial menunjukkan dua individu memakai gelang merah jambu dan berkeliaran di tempat umum hingga berlaku penularan Covid-10, berlaku di Kampung Berjaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya sudah menyiasat dakwaan itu yang tular sejak beberapa hari lalu dan mengesahkan ia tidak berlaku di lokasi seperti dinyatakan.

Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku di tempat lain.

“Bagaimanapun, kami meminta penulis Facebook (FB) berkenaan supaya tampil memberi maklumat yang lebih lengkap untuk membolehkan polis mengambil tindakan lanjut.

“Saya juga menasihatkan semua individu yang memakai gelang pink supaya kuarantin di rumah sehingga tamat,” katanya ketika ditemui dalam pemeriksaan jalan raya di Kampung Derang iaitu sempadan Pokok Sena-Kota Setar, hari ini.

Ahmad Shukri berharap individu yang diperintah menjalani kuarantin supaya mematuhi arahan bagi mengelak penularan wabak Covid-19, malah pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang ingkar.

“Saya beri amaran, kalau ternampak mereka yang memakai gelang pink berkeliaran di daerah ini, tindakan kompaun akan dikenakan.

“Selain itu, orang ramai yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), yang keluar tanpa tujuan munasabah juga boleh diambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, dalam pemeriksaan dilakukan, sebanyak empat kompaun dikeluarkan kepada mereka yang merentas daerah tanpa kebenaran polis selain empat saman atas pelbagai kesalahan trafik.-HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )