Polis Kedah rampas 101,380 rokok dalam enam van
Polis Kedah rampas 101,380 rokok dalam enam van

Polis Kedah rampas 101,380 rokok dalam enam van

Pasukan Polis Marin Wilayah Satu (PPMW1) menahan dua lelaki serta merampas 101,380 batang rokok disyaki tanpa cukai pelbagai jenama bernilai RM93,580 di perkarangan sebuah rumah di Jalan Dato Kumbar, di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kesemua rokok itu dirampas di dalam enam buah van yang diparkir di hadapan rumah terbabit dalam serbuan kira-kira jam 7.30 malam.

Menurutnya, dua lelaki berusia 45 dan 54 tahun yang dipercayai terbabit untuk menjaga van berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Risikan Marin Kuala Kedah ke atas salah sebuah kenderaan terbabit menjumpai sejumlah kartun rokok yang diletakkan di bahagian but belakang van.

“Susulan itu pasukan terbabit bertindak memeriksa dan menggeledah kesemua enam van itu dan menemukan sebanyak 101,380 batang rokok pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosman berkata hasil pemeriksaan terperinci yang dijalankan mendapati semua rokok disyaki tiada cukai kastam yang dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, stor penyimpanan rokok seludup itu dipercayai berpusat di Pulau Pinang yang menjadi pembekal untuk kawasan utara semenanjung.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk enam van berserta nilai cukai rokok adalah sebanyak RM453,580.

“Enam van terbabit serta barangan rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Kedah untuk tujuan dokumentasi,” katanya.

Rosman berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

SOROK 101,380 ROKOK DALAM 6 VAN

ALOR SETAR, 9 Disember 2020 – Pasukan Polis Marin Wilayah Satu (PPMW1) menahan dua…

Posted by Polis Kedah on Wednesday, 9 December 2020

Sumber artikel : HMetro

Kredit gambar : FB Polis Kedah

(Visited 55 times, 1 visits today)

COMMENTS