Polis siasat tular borang rentas negeri palsu bertandatangan

Polis siasat tular borang rentas negeri palsu bertandatangan

Polis daerah ini akan menjalankan siasatan berhubung kes pemalsuan tandatangan pegawai polis yang terdapat pada satu borang rentas negeri kosong yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya turut menafikan kononnya terdapat prosedur operasi standard (SOP) baharu dikeluarkan polis iaitu lulus dahulu baru isi borang untuk tujuan rentas negeri sebagaimana yang dinyatakan bersama borang kosong berkenaan.

“Borang rentas negeri kosong milik Balai Polis (BP) Chukai yang lengkap bertandatangan Ketua BP Chukai ditularkan di media sosial dengan tulisan “DAPAT INFO SOP TERBARU IALAH APPROVE DULU BARU ISI FORM.”

“Saya menafikan dan maklumat itu palsu kerana polis tidak pernah mengeluarkan sebarang SOP baru rentas negeri sebagaimana yang didakwa.

“Siasatan awal yang dijalankan juga mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua BP Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang berkenaan,” katanya.

Difahamkan borang berkenaan dikeluarkan kepada seorang perempuan Melayu untuk merentas negeri.

Wanita terbabit dikatakan mahu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri temu duga yang dijadualkan pada hari ini.

Hanyan berkata, satu kertas siasatan polis dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (pemalsuan bagi maksud hendak menipu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).-HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )