PRU-15: Peja bersedia lawan Anwar di Tambun
PRU-15: Peja bersedia lawan Anwar di Tambun

PRU-15: Peja bersedia lawan Anwar di Tambun

IPOH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan beliau sedia mempertimbangkan cadangan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika mengumumkan demikian selepas satu program politik di sini pada pertengahan minggu lalu, ketua pembangkang itu yang kini menyandang kerusi Parlimen Port Dickson, memaklumkan cadangan berkenaan ada diusulkan kepadanya namun keputusan belum dibuat.

Sebelum itu, Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dilaporkan sedia memberi laluan kepada Anwar bertanding kerusi Parlimen itu yang kini disandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan dipersetujui akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.

Mengulas kesediaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), mengalu-alukan sesiapa sahaja bertanding di Tambun, termasuk Anwar.

“Saya bimbang kalau Anwar Ibrahim bertanding, mungkin peluang untuk (Dr Abdul) Aziz Bari nak bertanding di situ agak sukarlah (dalam nada berseloroh), tapi bagi diri saya, saya pendokong demokrasi dan beliau (Anwar) layak bertanding di mana saja beliau pilih.

“Saya alu-alukan,” kata bekas Menteri Besar Perak itu yang lebih popular dengan panggilan Peja, ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rukun Negara @ Belia (RNB) di Aeon Mall Klebang, di sini hari ini.

Abdul Aziz, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi mewakili DAP merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang pada awal Jun lalu dilaporkan bersedia bertanding di Parlimen Tambun pada PRU-15

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang, mengulangi kesediaannya untuk berhadapan sesiapa sahaja yang ingin bertanding di kerusi Parlimen disandangnya kini.

“Saya harap pengundi akan kekal mengundi saya untuk terus bantu mereka di Tambun. Insya-Allah (saya) akan bertanding di Tambun, selagi nyawa dikandung badan pada pilihan raya akan datang, saya tidak lari,” katanya.

Ditanya pemberita sama ada beliau yakin Ahli Parlimen Port Dickson itu benar-benar akan bertanding di Tambun atau ia hanya sekadar gimik, Ahmad Faizal menegaskan, itu bukan isu paling penting.

“Itu semua tak penting, pada saya yang lebih penting hari ini, kita bagi kerjasama rapat kepada usaha untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Siapa calon (bertanding di Tambun), akan ada masa yang akan kita bincangkan berkenaannya.

“Sekarang ini, kita bincang tentang orang ramai dan rakyat di Port Dickson atau Tambun sudah kaya dan cukup makankah? Itu yang perlu kita fikirkan.

“Saya pun tak katakan saya sudah buat yang terbaik di Tambun kerana banyak lagi usaha perlu dibuat. Usaha itu yang perlu selalu kita hebohkan, janganlah bincang tentang Anwar Ibrahim dan Peja. ‘We come and go’ (kami datang dan pergi), rakyat yang perlu diutamakan,” katanya.

Mengenai persediaan PN dan BERSATU bagi menghadapi PRU-15, Menteri Belia dan Sukan itu berkata, parti sudah mengerakkan jentera pilihan raya.

“Kami pun sudah menjalankan (persiapan PRU) dengan cara kami. Ada jentera, saya akan ke Kelantan esok dan sebelum ini juga, kita sudah lancarkan (jentera pilihan raya) di dua negeri, Kelantan dan juga Terengganu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

(Visited 57 times, 1 visits today)

COMMENTS